Hisham: Umno Terengganu perlu kekal bersatu

KUALA NERUS – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin‎ Tun Hussein mengingatkan Umno Terengganu supaya tidak terus berada dalam keadaan selesa, malah perlu kerja kuat dan kekal bersatu bagi mengelak ancaman pihak luar.

Beliau berkata ahli Umno perlu menjadikan keperitan untuk mengambil alih Terengganu daripada Pas suatu ketika dulu (1999 hingga 2004) sebagai iktibar.

Katanya, sokongan terhadap perjuangan Umno juga perlulah sentiasa berkekalan dan berterusan dan bukannya berubah apabila individu yang diharapkan tidak tersenarai sebagai calon pada PRU14 nanti.

“Kita perlu terus pastikan kelebihan yang ada pada kita, kesatuan yang meletakkan kepentingan dalam membela nasib rakyat, mendekati rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.

– Bernama