HIPOKRASI DALAM PEMBUDAYAAN MELAYU

Kita tidak harus hipokrasi dalam soal pembudayaan Bangsa Melayu dan hadapilah realiti masyarakat Malaysia dengan berani jika kita hendak memperkasakan Melayu dengan nilai yang boleh menghadapi cabaran antarabangsa.

Pertama sekali kita harus akui bahawa sentimen ke Melayuan selepas merdeka telah dibangunkan oleh dua golongan Melayu terpelajar Inggeris iaitu suatu golongan yang mengikut arus sentiment ke arah nasionalisme Melayu dan suatu golongan lagi yang percaya kepada ketamadunan Melayu menerusi Bahasa Inggeris.

Kedua-dua golongan adalah dari pendidikan Inggeris, kelas elitis, aristokratik dan juga bangsawan yang walaupun dari aliran yang sama tetapi tidak sama dalam pendekatan kearah membangun kekuatan bangsa.

Pertembungan berlaku antara dua golongan ini untuk mendapat sokongan orang Melayu terutama dari guru-guru Melayu yang menjadi tulang belakang perjuangan kemerdekaan,orang kampung disamping golongan ustaz atau pondok.

Dalam dunia politik, anak-anak Melayu yang berpendidikan Inggeris terutama dari UK atau Australia lebih realisitik seperti Tunku Abdul Rahman,Tun Abdul Razak, Tun Dr.Ismail, Sardon Zubir, Mohd Khir Johari dan lain-lain.Mereka menjadi pengawal kepada sentiment Melayu agak keberatan untuk gantikan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dalam semua bidang.

Walaupun Tun Razak sejalan dengan pemikiran Tunku Abdul Rahman tetapi beliau terpaksa mengambil kesempatan tunduk kepada sentimen Melayu dalam isu penubuhan UKM apabila Datuk Harun Idris Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan juga Menteri Besar Selangor lebih ke hadapan dalam soal ini. Ini adalah kerana persaingan politik.

Gulongan nasionalis yang kuat dalam perjuangan Bahasa terdiri dari Professor Ungku Aziz, Syed Nasir Ismail, Professor Ismail Hussein, Professor Hamid Bakar, Hassan Haji Ahmad, Nik Safiah, Ainuddin Wahid dan beberapa orang lagi yang kebanyakannya berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga di Universiti Malaya dan Singapura.

Tidak dapat dinafikan kekuatan sentimen mereka telah membantu melahirkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan mempercepatkan jumlah peningkatan anak-anak Melayu ke Unversiti -Universiti tetapi dalam pada itu sentimen ini juga memakan korban yang tidak sedeikit dalam kemerosotan Bahasa Inggeris di negara ini dan menyekat perkembangan dan kecepatan kemajuan ilmu di kalangan anak-anak Melayu dari luar bandar kerana memerlukan terjemahan yang mengambil masa dan juga pengeluaran buku-buku teks dalam Bahasa Melayu.

Golongan elit Melayu yang berkualiti semakin pupus kerana nilai pelajaran menerusi Bahasa Melayu dan yang menjadi mangsa ialah anak-anak Melayu dari kampung sedangkan anak-anak golongan elit Melayu berpendidikan Inggeris yang memainkan sentimen Melayu, terus mendapat pendidikan berkualiti samada oleh suasana pendidikan di rumah atau menghanatr anak mereka ke luar negara.

Mereka ini berbahasa Inggeris dengan anak-anak mereka di rumah disamping menjadi juar bahasa Melayu di medan perjuangan.Kerana itu anak-anak mereka dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan lancar dan tidak menderita perasaan rendah diri.

Anak-anak merekalah yang menjadi kesenimbungan golongan elitis Melayu yang berkualiti dan mendapat kedudukan yang utama dalam pemerintahan negara,dalam dunia koporat dan di bidang penswastaan dan juga politik.

Umpamanya Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Ungku Aziz anak kepada Profesor Ungku Aziz, Syed Yusuf anak kepada Syed Nasir Ismail Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka,Syed Hamid Albar anak kepada Syed Jaafar Albar dan ramai lagi anak-anak pegawai tinggi kerajaan yang berpendidikan Inggeris.

Buatlah kajian secara jujur golongan elit yang menguasai berbagai bidang professional dalam kerajaan atau di luar kerajaan sekarang. Kebanyakan mereka adalah dari keturunan bangsawan atau elit Melayu yang berpendidkan Inggeris.

Tidak ramai lagi intelektual yang bersifat universal dalam kategori kualiti sosial dan pemikiran yang setaraf dengan mereka yang berpendidikan di zaman British seperti professor Kho Kai Kim, Profesor Ismail Hussein. Kassim Ahmad,Omar Hashim,Hassan haji Ahmad,Ahmad Mustaffa,Nik Safiah, Johan Jaafar dan lain-lain lagi. Walaupun berpendidikan Inggeris tetapi mereka mempunyai pengetahuan mendalam dalam Bahasa Melayu disamping penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.

Bahasa Inggeris memberikan kekuatan kepada nilai-nilai Melayu dengan keterampilan Melayu berkualti yang percaya kepada diri sendiri dan tidak menderita perasaan rendah diri.Lihat sahaja Rais Yatim, Ungku Aziz,Tunku Abdul Rahman, Tun Razak,, Tun Ismail, Tun Mahathir dan lain lain lagi yang setanding dengan gulongan para professional dan pemimpin antarabangsa.

Kualiti untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia pun masih dinilai dari segi kecekapan penguasaan Bahasa Inggeris.Maka itu kelemahan Bahasa Inggeris Dr. Zahid Hamid di tonjolkan dan Hisammuddin Onn diberikan kelayakan menjadi Perdana Menteri.

Rais Yatim juga dihormati dan dikagumi kerana penguasaan Bahasa Inggeris yang hebat seiring dengan Bahasa Malayunya yang sempurna dan indah walaupun beliau berpendidikan Inggeris.

Keupayaan Bahasa Inggeris yang membuka kepada pembacaan yang luas mencabar minda,mengimbangi cara berfikir dan membolehkan mereka menampilkan pemikiran dan keperibadian Melayu dengan kewibawaan dan kekuatan sendiri tetapi kelemahan anak-anak Melayu sekarang dalam hal ini membataskan pergaulan kepada kelumpuk sendiri sahaja menyebabkan pemikiran sempit sehingga Arabisasi dianggap sebagai kekuatan Islam dan Melayu.

Harus di ingatkan bahawa akhbar Utusan Melayu sendiri adalah di lahirkan oleh anak Melayu berpendidikan Inggeris dari keturunan Minang iaitu Yusuf Ishak yang setelah keluar dari dunia kewartawanan, menjadi Melayu Pertama sebagai Presiden Singapura. Beliau dan adik-adiknya yang mendapat tempat dalam kerajaan Singapura adalah anak kepada Pegawai Perikanan Melayu bagi Negeri-Negeri Selat.Semuanya berpendidikan Inggeris.

Aziz Ishak adik kepada Yusuf Ishak yang juga wartawan Utusan Melayu telah dihantar oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya General Templer untuk mewakili semua akhbar di Malaya bagi laporan dalam Bahasa Inggeris mengenai Pertabalan Queen Elizabeth di tahun1955.

Wartawan-wartawan Utusan Melayu generasi pertama juga adalah dari pendidikan Inggeris seperti Ishak Haji Mohamad ,Abdul Samad Ismail, Aziz Ishak ,Othman Wok, Hussein Abdul Hamid dan lain-lain. Perjuangan pertama Utusan Melayu bila di lahirkan pada tahun 1939 adalah untuk menentang Arabisasi ke atas Orang Melayu dan menentang Keturunan Arab(DKA) yang mengexsploitasi orang Melayu di Singapura dan Johor.

Kongres Budaya 2017 harus dapat melihat asas kekuatan Melayu sebenar yang terbina sejak merdeka tidak diatas asas racism Melayu dan agama yang sempit tetapi bersifat kosmopolitan dan berkualiti antarabangsa yang dijuarai dengan berani oleh Tunku Abdul Rahman,Tun Razak, Tun Dr.Ismail dan Tun Dr.Mahathir dan lain-lain rakannya.

Tan Sri Rais Yatim harus secara jujur melihat kekuatan dirinya sendiri.Kita harus membawa keluar orang Melayu dari sentimen Nusantara yang sempit seperti yang di lakukan oleh Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj walaupun menghadapi konfrantasi Indonesia.

Kerana kekeliruan dan hipokrasilah maka kita sekarang berundur kebelakang dalam bidang politik, sosial dan agama dengan memainkan kembali sentimen perkauman dan agama sampai pada peringkat mencacatkan Perlembagaan Negara atas kepercayaan akan menjadi bangsa dan agama yang kuat. Sebenarnya ini adalah kepalsuan dan penipuan diri sendiri.

–¬†http://zamkata.blogspot.my