‘HINA AGAMA, HUKUM KARMA TIBA, RAKYAT MENDERITA’

Anggota Parlimen Padang Besar BN Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika membahaskan Bajet 2018 di parlimen hari ini menzahirkan rasa sedih beliau berkenaan banjir besar yang melanda utara semenanjung Malaysia dan membangkitkan kemungkinan bencana itu adalah karma (balasan tuhan).

“Kita kena ingat. Terjadinya banjir ini adalah kerana kita lihat penebangan hutan di kawasan-kawasan bukit di Pulau Pinang yang tidak betul, pengurusan pembangunan yang tidak betul.

“Jangan lupa, kadang-kadang apabila kita melakukan perkara-perkara yang tidak baik, diantaranya, kita melaga-lagakan sesama agama, kita menghina agama, menganjurkan pesta-pesta yang jauh tersasar daripada agama orang lain dan membangkitkan kemarahan orang lain, maka sudah tentulah hukum karmanya akan tiba dan rakyat yang menderita,” kata anggota parlimen Umno itu.

Sumbangan bantu mangsa banjir

Kawasan utara semenanjung Malaysia menyaksikan hujan lebat pada malam 4 November dan awal pagi 5 November 2017 lalu yang mengakibatkan kejadian banjir besar.

Pulau Pinang yang merekodkan taburan hujan paling banyak dalam sejarah merupakan negeri yang terjejas teruk kerana banjir itu.

Zahidi mendesak pihak yang berkemampuan untuk memberi sumbangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah melawat pulau mutiara itu selepas banjir surut.

Angkatan Tentera Malaysia turut membantu usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

– M’kini

.