‘HIDUP UMNO’ BERGEMA DI SEKOLAH RENDAH

Ketika ura-ura Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di Putrajaya pada pilihan raya ke-14 akan datang, sebuah sekolah sekolah di Presint 14 Putrajaya hari ini bertukar menjadi majlis Umno.

Menerusi pertandingan menghias bilik darjah dan upacara penyampaian hadiah, kementerian wilayah persekutuan mensyaratkan tema “Umno dan Kemerdekaan” digunakan.

Selaras dengan tema itu, sekolah kebangsaan Putrajaya itu bukan sahaja dihiasi dengan bendera kebangsaan tetapi juga kibaran bendera Umno. Selain itu sepanduk “Hidup Umno, Hidup Melayu, Dulu, Kini dan Selamanya” juga digantung di tengah-tengah pentas.

Malah, potret Najib diletakkan di tempat yang tinggi dan tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak disengajakan, potret Dr Mahathir di bahagian bawah dikepung oleh sebuah pasu pokok.

Acara penuh gemilang itu dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang juga adalah setiausaha agung Umno dan ahli parlimen Putrajaya pada ucapannya secara terbuka mempelawa para guru menyertai Umno. Sebaik selesai memberi ucapannya, laungan “Hidup Umno” oleh kira-kira 500 murid-murid dan guru-guru turut bergema.

Ini disusuli dengan menteri Umno itu memeriksa bilik darjah dan kelas yang dihiasi melalui tema yang ditetapkan sambil pelajar dilihat menyanyikan lagu-lagu Umno dengan penuh semangat.

Tengku Adnan kemudian dijamu dengan pelbagai juadah termasuk kek bendera Malaysia dan pulut kuning berbentuk bendera Umno.

Beliau kemudian terus bergegas dan enggan mengulas apabila ditanya sama ada bendera Umno dan acara bertema politik dibenarkan di sekolah.

Bercakap kepada Malaysiakini, guru besar, Mohd Amin Hamzah berkata, tema majlis itu ditentukan oleh kementerian wilayah persekutuan.

Namun, katanya sekolah itu mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan.

“Sebenarnya (unsur politik) kita tak nampak terlalu jelas, sebabnya kita menyokong kementerian wilayah saja adakan aktiviti ini, bukannya melibatkan politik dalam sekolah, kami menyokong activiti kementerian, bukannya politik,” katanya.

Apabila ditanya mengenai bendera Umno dan lagu parti itu yang dibenarkan berkibaran dan berkumandang di seluruh sekolah, jawapnya, “Itu sementara sahaja.”

Seorang guru, yang enggan namanya disiarkan mengakui ada di antara mereka yang tidak selesa dengan majlis seumpama itu.

“Kita tidak bersetuju, tetapi memandangkan kementerian memutuskan tema ini, apa boleh kita buat?” katanya.

“Tahun lalu, kementerian cuma guna tema kemerdekaan,” katanya.

Menurutnya, satu kumpulan pemantau dihantar ke sekolah untuk memastikan segala-galanya teratur dan berjalan lancar sebelum acara bermula.

“Saya tidak tahu bila pelajar diajar menyanyi lagu Umno, sekolah tidak pernah mengajar mereka, kami hanya melatih mereka membuat persembahan,” katanya.

– M’kini

.