HENTI LAKUKAN KERJA KOTOR ERDOGAN, KATA SCF KEPADA MALAYSIA

Pusat Kebebasan Stockholm (SCF) mahu kerajaan Malaysia untuk menghenti melakukan kerja-kerja ‘kotor’ menindas bagi pihak kerajaan Turki yang diketuai oleh Presiden Recep Erdogan.

Ini berikutan penahanan dan pengusiran tiga warga Turki dari Kuala Lumpur, minggu lalu.

Dalam laporan bertajuk Erdogan’s Long Arms: The Case of Malaysia, pusat itu berkata bahawa Turki menggunakan taktik samseng dalam menganiaya pengkritik dan lawannya di luar negara dengan mendalangi penculikan. Selain itu, institusi kerajaan dan kumpulan haram digunakan untuk mengganggu ekspatriat Turki.

Berdasarkan kes penculikan dan pengusiran Ismet Ozcelik, Turgay Karaman dan Ihsan Aslan dari Malaysia minggu lalu, pusat yang berpangkalan di Sweden itu menyifatkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai rekod undang-undang buruk dan ahli politik yang mengamalkan rasuah.

Ia mendakwa kes ketiga-tiga lelaki itu mendedahkan bagaimana kerajaan semasa Turki yang diketuai oleh seorang pemimpin kuku besi yang menindas dan menghantar pulang rakyat yang tidak sehaluan dengan rejim berkenaan.

Laporan itu menyatakan Malaysia seolah-olah secara rela membantu dan bersubahat dalam tindakan yang menyalahi undang-undang berkenaan.

“Kes di Malaysia itu menunjukkan bagaimana Erdogan boleh mengheret pemimpin lain dalam sindiket jenayah beliau dengan muslihat mereka melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Rejim yang korup dan kuku besi kelihatan membantu dan bersubahat dengan Erdogan dalam pemburuan haramnya itu sebagai pertukaran untuk habuan politik dan insentif ekonomi, “kata Presiden SCF Abdullah Bozkurt.

“Memandangkan , mereka ini, yang telah diserahkan kepada Turki atas tuduhan palsu akan tertakluk kepada penyeksaan, penderaan dan layanan yang tidak berperikemanusiaan, kerajaan Malaysia akan dipertanggungjawabkan kerana membolehkan jenayah Erdogan terhadap kemanusiaan pada masa akan datang,” kata Bozkurt lagi.

Laporan itu juga mendakwa bahawa kedutaan Turki dan agensi-agensi kerajaan, termasuk perkhidmatan perisikan dan badan bukan kerajaan yang bersekongkol dengan parti pemerintah AKP, semua terlibat dalam pemprofilan dan menganiayai ahli-ahli gerakan Fethullah Gulen.

– M’kini

.