HELAH MASIH WUJUD DALAM CADANGAN KEDUA PERSEMPADANAN SEMULA, KATA BERSIH

CADANGAN kedua persempadanan semula untuk Selangor yang dikeluarkan hari ini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) masih mengandungi unsur gerimander dan salah pembahagian.

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berkata, walaupun hanya sedikit kerusi akan terkesan dengan cadangan persempadanan semula itu, namun suruhanjaya tidak menjelaskan masalah sedia ada.

“Analisis awal kami menunjukkan yang SPR telah menarik kembali kebanyakan perubahan yang dicadangkan sebelum ini,” kata pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah ketika dihubungi hari ini.

“Bagaimanapun, isu salah pembahagian dan gerimander masih wujud. SPR tak perbetulkan masalah ini,” katanya.

Cadangan perubahan itu melibatkan lima kawasan parlimen berbanding 18 dalam cadangan sebelum ini. Lima kawasan itu adalah Ampang, Kuala Selangor, Gombak, Pandan, dan Tanjong Karang.

Selain itu, empat kawasan dewan undangan negeri yang terkesan dengan cadangan semula adalah Batu Caves (yang akan dinamakan sebagai Sungai Tua); Bangi (Sungai Ramal); Chempaka (Pandan Indah) dan Teluk Datuk (Banting).

Dalam pada itu, SPR terlibat dalam perbalahan undang-undang dengan kerajaan Selangor. Bulan lalu, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa kerajaan negeri Selangor tidak boleh mencabar pelaksanaan persempadanan semula SPR.

Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan berkata, mahkamah tidak boleh campur tangan dalam  pelaksanaan persempadanan semula, yang menurut beliau ia adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan itu.

Oktober lalu, Selangor memfailkan permohonan semakan semula dengan menamakan Pengerusi SPR, Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Abdul Ghani Salleh sebagai responden.

Selain membatalkan notis persempanan semula SPR, Selangor turut memohon satu pengisytiharan bahawa notis itu kekurangan butiran hingga menyebabkan pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menjalankan hak Perlembagaan mereka untuk memfailkan bantahan.

Sehubungan itu, kata Maria, salah pembahagian di lima kawasan parlimen dan empat kerusi DUN “masih tinggi” dalam cadangan kedua itu.

Beliau menunjukkan kawasan kerusi negeri paling besar iaitu Seri Serdang (N29) mempunyai 74,563 pengundi, sementara kawasan kerusi paling kecil iaitu Sungai Air Tawar (N01) mempunyai hanya 15,033 pengundi.

“Perbezaannya lima kali ganda. Sama juga dengan kerusi parlimen,” kata Maria.

Kerusi parlimen paling bear, Kapar (P109) mempunyai pengundi seramai 146,317 manakala kawasan parlimen paling kecil iaitu Sabak Bernam (P092) mempunyai hanya 37,126 pengundi. Perbezaan besar empat kali ganda.

– https://www.themalaysianinsight.com

.