HATI-HATI BUAT KENYATAAN MENGENAI KEPUTUSAN KES INDIRA, KATA KPN

KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan apabila mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penukaran agama sepihak yang dikaitkan dengan kes Indira Gandhi.

Beliau menyelar kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) di Facebook persatuan itu semalam yang memberi amaran bahawa keganasan agama boleh tercetus di negara ini sekiranya polis terus memburu Muhammad Riduan Abdullah dan anak perempuannya, Prasana Diksa.

“Semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggungjawab apabila memberi kenyataan.

“Negara kita ada undang-undang,” Mohamad Fuzi memberitahu The Malaysian Insight tanpa mengulas lebih lanjut.

Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan penukaran agama ketiga-tiga anak Indira Gandhi oleh bekas suaminya kepada Islam, terbatal dan tidak sah.

Mohamad Fuzi Harun mengulas keputusan mahkamah itu berkata polis akan memburu Muhammad Riduan untuk melaksanakan perintah mahkamah yang memberikan hak penjagaan Prasana kepada Indira.

Kedua-dua ibu dan anak itu telah terpisah selama sembilan tahun semenjak Riduan melarikan Prasana.

Bagaimanapun, PUM dalam kenyataannya semalam mendesak polis supaya berhenti memburu Riduan.

“PUM meminta jasa baik pihak polis supaya tidak memburu bapa tersebut dan anaknya sehingga satu penyelesaian bersama dicapai,” kata Presiden PUM, Abdul Halim Abd Kadir.

“PUM bimbang sekiranya ia dilakukan, ada kemungkinan akan berlaku konflik antara penganut agama di negara ini sehingga mungkin berlakunya keganasan (violence) dalam masyarakat.”

Sehingga kini, polis masih belum menemui Riduan dan Prasana.

Peguam Indira, M. Kulasegaran berkata pihak berkuasa perlu menurut perintah mahkamah supaya mencari Riduan dan Prasana.

“Mahkamah telah membuat keputusan. Jadi nak cari penyelesaian apa lagi?” kata Kula, merujuk kepada kenyataan PUM.

Tambahnya lagi, sejak isu itu dikemukan kepada bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, pihak berkuasa pelu mematuhi keputusan mahkamah.

Terdahulu, Indira berkata beliau tidak mahu isu ini menjadi hal berkaitan agama atau perkara lain.

“Tidak kira apa agamanya sekarang dan saya tidak mahu anak itu juga keliru.

“Saya mahu bertemunya, daripada berfikir tentang soal agamanya sekarang,” Indira memberitahu The Malaysian Insight.

– https://www.themalaysianinsight.com

.