HASRAT KAYVEAS TANDING DI CAMERON HIGHLANDS DIBINCANG

IPOH – Hasrat Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M. Kayveas bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands PRU14 akan dibincangkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN minggu ini.

Pengerusi MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tetap yang ditandingi MIC sejak PRU11.

Beliau berkata, MIC akan hanya memberikan laluan kepada mana-mana parti komponen BN bertanding di Parlimen berkenaan atas arahan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Permintaan kerusi daripada parti komponen adalah perkara biasa dan kalau kita lihat pun, setiap kali menjelang pilihan raya perkara ini pasti berlaku.

“Namun, pucuk pimpinan diketuai pengerusi (BN) sendiri akan buat keputusan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen MIC Negeri Perak ke-71 di sini, hari ini.

Semalam, Kayveas yang ditemui pada Konvensyen MyPPP Melaka kali ke-17 di Air Keroh, menyatakan beliau tetap bertanding di Parlimen Cameron Highlands sama ada sebagai calon BN atau calon bebas.

Kayveas yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan turut mendakwa beliau telah meminta ‘restu’ daripada Najib sebelum berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands kira-kira dua tahun lepas bagi memastikan kemenangan BN.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Subramaniam yang juga anggota Parlimen Segamat mengesyorkan supaya Kayveas bertanding di Pagoh sekiranya benar-benar mahu membantu BN mengapai kemenangan pada PRU14.

Beliau berkata, kerusi Parlimen itu dilihat sesuai ditandingi Kayveas memandangkan ia kini dikuasai bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dipecat daripada Umno.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini disandang bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.

– Bernama

.