HASMAH GERAKKAN WANITA DALAM HIMPUNAN UNGU

Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dikenali sebagai wanita yang memiliki tutur bicara yang lemah lembut.

Tidak seperti aktivis berpengalaman seperti Datuk Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah, Siti Hasmah bukanlah individu yang biasa menggerakkan sesuatu himpunan untuk menyuarakan bantahan.

Tetapi petang ini, Siti Hasmah berdiri di hadapan sekumpulan 1,000 orang di Kuala Lumpur – kebanyakannya wanita berpakaian ungu – bagi menyampaikan mesej mereka – wanita membantah politik toksik.

Menjadi individu terakhir berucap sebelum berarak ke Pusat Beli Belah Sogo, Siti Hasmah menyedarkan orang ramai mengenai keperluan untuk menghentikan “politik toksik”.

Siti Hasmah, 91, berkata keadaan kini semakin membimbangkan apabila seseorang mungkin dikasari kerana hanya menyuarakan pendapat.

“Sebab itu kita wanita membantah sekeras-kerasnya politik toksik sebelum toksik itu masuk ke dalam badan kita dan menjadi toksinnya, baiklah kita cegah, hentikan […]

So ladies, ayuh kita berjalan,” katanya.

Pada tahun 2014, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu mempertahankan ancaman sebuah NGO untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana menghasilkan video Tahun Baru Cina yang mempersenda pemimpin kerajaan.

Perhimpunan hari ini, yang digelar sebagai himpunan “Wanita Bantah Politik Toksik”, menyasarkan antara lain, keganasan politik, ugutan, perkauman, seksisme, ucapan kebencian serta kegagalan kerajaan memastikan keselamatan awam dan kesucian perlembagaan persekutuan.

Pemimpin wanita terkemuka lain yang hadir ialah anak perempuan Siti Hasmah, Marina Mahathir, bekas Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, Pemimpin G25, Datuk Faridah Arifin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

– M’kini

.