HARUSSANI: BERSANGKA BAIKLAH DENGAN ARWAH KASSIM AHMAD

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mendesak orang ramai, termasuk sarjana Islam, untuk menghormati sarjana kontroversi Kassim Ahmad, yang meninggal dunia semalam.

“Kita harus menghormati si mati. Apa yang dia lakukan akan diadili oleh Allah.

“Kita tidak tahu bagaimana pengakhirannya, justeru kita harus bersangka baik padanya. Siapa tahun jika beliau bertaubat dan siapa tahu jika dia mengucap syahadap sebelum meninggal dunia.

“Sesama Muslim, kita mesti bersangka baik kepada allahyarham Kassim Ahmad,” kata Harussani ketika dihubungi Berita Daily.

Mufti Perlis Datuk Seri Asri Zainul Abidin semalam memuat naik tulisan di Facebook yang dilihat banyak pihak sebagai menyindir Kassim yang sering dituduh antihadis.

“Pengurusan jenazah tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Cara pengurusan jenazah secara terperinci disebutkan dalam hadis-hadis Nabi SAW.

“Maka, untuk menguruskan jenazah memerlukan hadis-hadis yang thabit dari Nabi SAW.

“Ertinya, Muslim sebenarnya memerlukan hadis-hadis Nabi SAW dalam banyak perincian amalan hidupnya,” tulisnya.

Kassim, Quranis yang memimpin Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM), didakwa menolak hadis yang menjadi rujukan kedua tertinggi bagi umat Islam.

Kassim lima tahun lalu memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bukan antihadis dan menerima kira-kira 40 peratus hadis yang dianggapnya tidak bertentangan dengan al-Quran.

Kassim yang juga sasterawan dan bekas ahli politik kiri berpengaruh itu meninggal dunia di Hospital Kulim pagi semalam pada umur 84 tahun.

Anak lelakinya Ahmad Shauqi berkata bapanya dunia akibat antaranya disebabkan mengalami masalah berkaitan paru-paru.

Allahyarham terkenal dengan karya Hadis: Satu Penilaian Semula, sebuah kajian kritikal yang diharamkan kerajaan pada tahun 1986.

– M’kini

.