HARI MALANG KJ…

Semalam barangkali adalah hari yang agak malang bagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Pada sebelah tengahari beliau mengeluh tentang kelakuan seorang pemimpin kecil UMNO di peringkat cawangan yang sering menuduhnya macam-macam, termasuk menggelarnya sebagai Bangla.
KJ jelas kelihatan kecewa dengan sikap individu berkenaan serta menyifatkannya sebagai “gila”.
“Baru saja malam tadi dia menggelar saya Bangla, ada sesuatu yang tak kena dengan lelaki ini,” kata KJ.
Pada sebelah petang pula, beliau ditegur oleh Tengku Mahkota Johor yang juga Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas ketidakhadirannya menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala FA, baru-baru ini.
Lebih-lebih lagi tambah TMJ, turut hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA itu ialah kerabat-kerabat diraja daripada Johor, Pahang dan juga Kedah.
Kata TMJ, Menteri Belia dan Sukan itu sepatutnya menjadi antara individu penting yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu, tetapi malangnya difahamkan KJ mempunyai program bersama Askar Wataniah pada malam tersebut.
“Pada saya, sekiranya program itu lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi Askar Wataniah daripada menjadi Menteri Belia dan Sukan,” tegas TMJ lagi.
Dari segi peranan dan tanggungjawab, KJ adalah Menteri Belia dan Sukan, sementara penglibatannya dalam Askar Wataniah pula lebih berbentuk sukarela dengan pangkat yang disandangnya sebagai Brigadier Jenderal.
Bermakna, teguran TMJ terhadap KJ memang ada asasnya, bukan saja dari segi keutamaan dan matlamat untuk melihat sukan bolasepak terus maju dan berkembang, malah juga berdasarkan jawatannya dalam kerajaan.
Kalau dalam acara-acara sukan di peringkat antarabangsa sebelum ini KJ boleh melapangkan masa menghadirinya, sudah tentu agak mengecewakan jika acara sukan dalam negara sendiri hanya dipandang sepi oleh beliau.

Bagaimana KJ mahu meletakkan dirinya sebagai pemimpin masa depan jika beliau masih keliru dari segi keutamaan?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.