HARI INI MAHATHIR BUKA MATA: NURUL IZZAH

SUNGAI BULOH – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini mula membuka matanya, terhadap kepincangan yang berlaku di negara ini.

Berucap dalam program #BebasAnwar di pekarangan penjara Sungai Buloh malam tadi, Nurul Izzah berkata, sehinggakan Mahathir bertemu ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ‘melakukan sesuatu’.

“Hari ini seorang sosok bernama Tun Dr Mahathir Mohamad boleh membuka matanya sendiri, datang ke mahkamah menyatakan pendirian, ia kini tiba masanya kita harus bekerjasama untuk menjatuhkan menerusi pilihan raya Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Terdahulu, pada tengah hari semalam, Mahathir bertemu Anwar selama 45 minit di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua mereka bersetuju mengenai keadaan politik semasa negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berundur.

Oleh itu, Nurul Izzah menyeru kepada para penyokongnya untuk terus bekerja kuat bagi membolehkan pembangkang memenangi PRU pada masa akan datang.

“Ini bukan masa untuk berputus masa, ini masa kita lawan habis-habisan untuk ┬ápastikan kejayaan dalam PRU.

“Lupakan kesengsaraan peribadi, kuatkan iltizam mahu selamatkan anak cucu kita,” katanya.

– Sinar Harian

.