‘HARI INI AMANAH ALAMI APA PAS RASAI’

Pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) menyaksikan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan PKR paling banyak mendapat laba dan keuntungan, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohd Nor.

“Lebih menakjubkan, PPBM (BERSATU) mendapat bakal calon Perdana Menteri (PM) dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai calon PM jika mereka menang, sementara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Agak melucukan dan begitu menghairankan, parti serpihan yang dibentuk belum sampai dua tahun boleh mendapat tempat sebegitu tinggi sedangkan parti yang lebih kurang sebaya, AMANAH hanya mendapat 27 buah kerusi parlimen dan tidak dijanjikan apa-apa kedudukan tertinggi,” katanya menerusi tulisan di Harakahdaily.

BERSATU ditubuhkan pada 2016 oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Manakala AMANAH dibentuk oleh sebahagian pemimpin PAS yang kecewa dengan keputusan pemilihan dalam muktamar parti Islam itu pada 2015.

Pengagihan kerusi itu diumumkan Ahad lalu pada Konvensyen HARAPAN dengan BERSATU akan bertanding di 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan AMANAH (27).

Bagaimanapun ia menimbul rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin AMANAH khususnya di Johor dan Perak. Di Johor misalnya, AMANAH diperuntukkan dua kerusi Parlimen – Parit Sulong dan Pulai – daripada lima yang dituntut mereka.

Ia menyebabkan AMANAH Johor bertindak memboikot konvensyen Ahad lalu.

Selain itu di Wilayah persekutuan pula AMANAH tidak diberikan sebarang kerusi sehingga pengerusinya Dr Hatta Ramli didakwa mahu meletakkan jawatan meskipun dinafikannya.

Menurut Riduan, PAS pernah berhadapan dengan suasana sebegitu apabila parti Islam itu dibuli parti komponen dalam gabungan yang dibentuk sebelum ini, Pakatan Rakyat.

“Atas jentera PAS, dana dan sokongan, pengaruh, pentas dan strategi PAS mereka (PKR dan DAP) bertanding dan menang tetapi akhirnya PAS juga yang tersingkir dan dipinggirkan,” katanya.

Tambahnya, PAS ketika itu umpama anak tiri yang dibuli dan didera, sedangkan parti komponen dalam Pakatan Rakyat “menumpang kerusi dan rumah” yang dibina atas inisiatif parti Islam itu.

“Hari ini, parti serpihan PAS yang ditubuhkan atas kekecewaan, AMANAH merasai apa yang pernah kami lalui dahulu.

“Tetapi, mereka lupa dan tidak pernah serik ditipu, ditindas dan dijanjikan dengan pelbagai kata-kata manis yang indah di halwa telinga,” katanya.

– M’kini

.