HARI-HARI TERAKHIR SEKOLAH MUBALIGH?

PENTADBIR sekolah mubaligh di negara ini masih percaya institusi yang sudah mengasuh banyak generasi warga Malaysia, termasuk sesetengah pemimpin atasan negara itu, tetap relevan dengan masyarakat hari ini.

Namun dengan landskap institusi pendidikan Malaysia yang berubah, sekolah mubaligh perlu menyemak semula strategi mereka atau berdepan kemungkinan ditutup kerana kekurangan pelajar dan kekurangan guru yang berpengalaman, kata Presiden Persekutuan Persatuan Alumni La Salle, Michael Simon.

“Sekarang ini sekolah mubaligh sudah kurang walaupun jumlahnya tidak berkurangan dengan mendadak,” kata Simon.

Sekarang ini ada 13 Lembaga Mubaligh yang memiliki sekolah-sekolah mubaligh di Malaysia. Mereka menubuhkan majlis dan lembaga untuk menguruskan pentadbiran sekolah berkenaan.

Pihak berkuasa mubaligh itu tertakluk di bawah Majlis Pendidikan Katolik Malaysia, Majlis Pendidikan Methodist, Lembaga Sekolah Mubaligh Anglikan, Lembaga Pendidikan Presbyterian dan Lembaga Pendidikan Kristian Bersaudara.

Setakat 2016, ada sejumlah 216 sekolah mubaligh di Semenanjung Malaysia dengan jumlah pelajar seramai 240,000.

Kurang sambutan

Menurut Simon, antara isu utama yang dihadapi oleh sekolah mubaligh ialah kekurangan pelajar yang mendaftar.

“Ini kerana kerajaan sudah membuka banyak sekolah di kawasan perumahan.

“Ibu bapa kini merasakan payah hendak menghantar anak-anak ke Kuala Lumpur atau St Johns Institution, misalnya, atau mana-mana sekolah lain kerana kesesakan jalan raya.

“Apa yang mereka buat ialah hantar anak-anak ke sekolah yang dekat dengan rumah dan mereka tidak perlu risau tersangkut dalam trafik,” katanya.

Menurut Simon juga alasan lain kurangnya pelajar baru ialah tahap pencapaian akademik sekolah mubaligh yang merosot.

“Kebanyakan sekolah mubaligh pada suatu ketika dulu adalah antara lima atau 10 sekolah terbaik di Malaysia tetapi sekarang tidak lagi. Itulah gambaran tahap pendidikan (sekolah mubaligh) sekarang,” katanya.

Sekolah mubaligh yang dahulunya cemerlang kini bergelut dengan pelbagai masalah, antaranya guru yang tidak menjunjung ethos dan semangat sekolah serta peruntukan yang tidak mencukupi menyebabkan kualitinya menurun turun. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2017.
Sekolah mubaligh yang dahulunya cemerlang kini bergelut dengan pelbagai masalah, antaranya guru yang tidak menjunjung ethos dan semangat sekolah serta peruntukan yang tidak mencukupi menyebabkan kualitinya menurun turun. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2017.

“SMK Aminuddin Baki di Kuala Lumpur bukan sekolah premium dan pada suatu masa dahulu, itulah sekolah tempat pelajar pergi untuk menduduki semula Sijil Pelajaran Malaysia.

“Sekarang ia sekolah utama sementara Victoria Institution dan St Johns bukan lagi sekolah utama.

“Kami difahamkan kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan keadaan tetapi pada akhirnya ia adalah tentang pendidikan,” katanya.

Bukan lagi sekolah pilihan

Setiausaha Agung Majlis Sekolah Kristian Malaya, Tay Choon Neo setuju bahawa sekolah mubaligh, yang dahulu dianggap institusi cemerlang, kini bukan lagi sekolah pilihan.

Beliau menyalahkan kemerosotan tahap pendidikan yang disebabkan sekolah mubaligh tidak lagi berupaya memilih guru-guru,  yang kini di bawah bidang kuasa jabatan pendidikan.

“Ia bermula apabila kerajaan mengambil alih sekolah-sekolah itu dan apabila pihak mubaligh perlahan-lahan hilang kuasa lebih 20 tahun lalu.

Ibu bapa juga sukar menghantar anak mereka ke sekolah mubaligh yang kebanyakkan terletak di pusat bandar kerana pelbagai faktor menyebabkan sekolah itu hilang daya tarikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.
Ibu bapa juga sukar menghantar anak mereka ke sekolah mubaligh yang kebanyakkan terletak di pusat bandar kerana pelbagai faktor menyebabkan sekolah itu hilang daya tarikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

“Guru-guru digajikan oleh kementerian pendidikan dan bukannya gereja,” katanya.

Menurut Tay, antara kebimbangan mereka ialah tidak ada banyak kakitangan yang beragama Kristian untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan demi meneruskan ethos dan budaya sekolah mubaligh.

“Apabila jadi sekolah kerajaan, ethos dan watak Kristian sekolah itu hilang,” katanya.

Jelas Tay pelantikan dan pertukaran guru kini dilakukan oleh Kementerian Pendidikan.

“Kerajaan sepatutnya berusaha menghantar guru Kristian ke sekolah mubaligh untuk menjalankan dan menguruskan kelab dan persatuan Kristian.

“Kami hanya boleh mencadangkan pelantikan guru Kristian tetapi jumlah mereka tidak ramai.”

Kurang dana

Simon berkata satu lagi cabaran yang mereka hadapi ialah soal dana dan pemuliharaan sekolah, yang sesetengahnya sudah berusia lebih 100 tahun.

“Setiap tahun sekolah mubaligh akan membuat senarai permintaan dan menyerahkannya kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

“Pada 2013, kerajaan menubuhkan tabung untuk sekolah mubaligh dan setiap tahun ada peruntukan.

“St Johns, yang berumur 110 tahun, kadang-kala dapat antara RM100,000 hingga RM150,000. Sebuah lagi sekolah tua ialah St Xavier’s di Pulau Pinang, umurnya 167 tahun.”

Jelas Simon, sebagai sekolah bantuan kerajaan, sebahagian besar dana untuk memulihara bangunan sekolah datangnya daripada penderma dan aktiviti mengumpulkan dana yang dijalankan oleh sekolah.

“Ini sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan Kementerian Pendidikan perlu lebih bertanggungjawab kerana kebanyakan sekolah mubaligh ini sudah sangat tua,” katanya.

Menurut Simon, biarpun kebanyakan sekolah mubaligh “masih berfungsi”, pihak berkuasa mubaligh di Malaysia perlu menyemak semula strategi mereka termasuk menswastakannya untuk mendapatkan semula “ethos, warisan dan budaya” sekolah-sekolah itu.

Beliau memberikan contoh St Johns Institution yang mengubah sebahagian sukatan pelajarannya mengikut sukatan pelajaran antarabangsa.

Jelas Simon, sekolah mubaligh boleh memohon untuk menukar sama ada jadi sekolah swasta atau sekolah antarabangsa tetapi mengekalkan sukatan pelajaran tempatan.

“Ini masanya untuk kita membuat penentuan dan memikirkan semula strategi,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.