HARGA TAYAR NAIK MULAI 1 JANUARI

AKIBAT kenaikan harga gred getah dan kejatuhan mata wang ringgit, harga tayar baharu dan celup akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus mulai 1 Januari 2017.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Tayar Negeri Johor, Goh Soo Chay ketika memberitahu Nanyang Siang Pau, peniaga tayar tempatan dimaklumkan mengenai kenaikan harga tayar ini oleh beberapa pihak seperti syarikat pengimport, pemborong dan syarikat pembuat tayar tempatan.

“Tayar-tayar import kecuali China akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus, manakala tayar yang diimport dari China dijangka naik sebanyak 10 peratus.

“Manakala syarikat pembuat tayar celup juga telah memberitahu semua peniaga tayar tempatan bahawa harga baharu tayar celup akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus mulai 1 Januari 2017,” kata Soo Chay.

Menurut beliau, syarikat pembuat tayar dari China sebelum ini telah menjelaskan pihaknya terpaksa menaikkan harga tayar disebabkan harga gred tayar SMR20 telah naik sebanyak enam peratus dan ditambahkan lagi kejatuhan nilai ringgit sebanyak lapan peratus.

“Secara keseluruhannya, jumlah kenaikan sepatutnya adalah 14 peratus, namun pihak syarikat pengimport dan pemborong telah bersetuju menetapkan kadar kenaikan sebanyak 10 peratus sahaja,” jelasnya lagi.

Kata Soo Chay, gred tayar SMR20 yang berharga RM6 sekilogram tidak berapa lama dulu telah meningkat kepada RM9.26 sekilogram pada pertengahan Disember lalu. Ketika ini, harganya kekal RM8.80 sekilogram.

Selain tayar buatan China, jenama tayar buatan negara-negara asing yang banyak dijual di negara kita termasuklah Bridgestone, Michelin, Falken, Yokohama dan sebagainya; manakala tayar-tayar buatan tempatan terdiri daripada Goodyear, Toyo, Silverstone, Contiental dan sebagainya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar menukar tayar kenderaan mereka sebelum Tahun Baharu Cina ini kerana biasanya penjual tayar mempunyai stok lama antara satu hingga dua bulan yang membolehkan pelanggan boleh beli mengikut harga lama.

“Kenaikan harga memang tidak boleh dielakkan. Tetapi peniaga juga seperti rakyat biasa yang menghadapi tekanan kos hidup yang semakin tinggi.

“Namun kami sentiasa mengamalkan perasaan timbang rasa dan bertolak ansur dengan tidak membebankan pengguna sepenuhnya. Jika tidak, ramai pengguna akan merungut tidak puas hati,” katanya.

PRU dijangka hujung Oktober depan

PRU14 sekiranya tidak diadakan pada April atau Mei tahun depan, kemungkinan besar akan dilanjutkan sehingga hujung Oktober dan awal November.

China Press menulis, hasil kajian yang dibuat beberapa pemerhati politik Singapura mendapati, hujung Oktober dan awal November adalah waktu yang paling sesuai untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan PRU kerana banyak memihak kepada kerajaan.

“Selepas penganjuran Sukan Sea yang dijangka berlangsung secara besar-besaran, perayaan Hari Kebangsaan dan ditambahkan lagi pengumuman bajet yang sudah tentu akan memberikan ‘gula-gula’ kepada rakyat, maka inilah waktu yang paling sesuai untuk bubar parlimen.

“Undi rakyat tentu akan diberikan kepada kerajaan jika mereka sokong atau mahu apa yang mereka inginkan,” kata seorang pemerhati politik.

Beliau menjangkakan PRU juga kemungkinan akan diadakan pada April atau Mei kerana mengikut tradisi, ia tidak diadakan pada sepanjang bulan puasa ataupun hujung tahun.

Selain itu, kata beliau, dua faktor akan menjadi penentu kepada Najib mengadakan PRU, iaitu perpaduan Melayu dan isu Islam.

“Najib akan terus menekankan dua isu ini kerana ia mampu mengukuhkan sokongan orang Melayu bagi membolehkan BN memperoleh kemenangan dalam PRU akan datang,” katanya.

Sebelum ini, ramai pihak menjangkakan Najib akan mengadakan PRU lebih awal, iaitu pada tahun hadapan disebabkan perkembangan politik yang menyaksikan bakal memihak kepada BN.

Perpecahan yang berlaku dalam parti-parti pembangkang sehingga hari ini, terutama membabitkan Pakatan Harapan dengan Pas memungkinkan BN akan memperoleh kembali sokongan yang lebih baik berbanding PRU lalu.

– Sinar Harian

.