HARGA SILING MINGGUAN, CUBAAN “CUCI TANGAN” KENAIK

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) beberapa hari lalu mengenai tata cara pengumuman harga minya yang baru bermula 1 April 2017 ini. Setakat ini, pengumuman tersebut tidak memberi banyak maklumat kecuali perkara-perkara berikut:

1. Harga minyak siling akan ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan setiap minggu

2. Stesen minyak di seluruh negara diberi kebebasan menetapkan harga minyak tertakluk kepada harga siling itu

3. Persatuan Pengendali Stesen Minyak (PDAM) membuat permohonan untuk menyemak kembali nilai jaminan kos dan keuntungan bagi setiap liter yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan

Sebelum ini, saya telah menyuarakan kebimbangan bahawa harga petrol dan diesel akan terus meningkat naik dan boleh mencecah RM2.70 seliter menjelang Jun 2017 sekiranya tindakan segera diambil untuk menetapkan harga siling dan mengembalikan subsidi minyak. Dalam tahun 2014, saya juga pernah menyatakan bahawa harga minyak yang ditetapkan setiap minggu adalah lebih baik tertakluk kepada subsidi minyak dikembalikan.

Dari pengumuman setakat ini, jelas pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya berhasrat untuk memperkenalkan harga siling yang disemak setiap minggu tetapi tidak mengembalikan subsidi. Tidak ada satu kenyataan pun merujuk kepada pengembalian subsidi walaupun dalam suasana harga minyak mentah dunia dijangka akan kekal di antara paras USD55 ke USD60 tahun ini (jika tidak lebih tinggi).

Saya telah huraikan minggu lalu bagaimana pada harga minyak mentah dunia USD55 se-tong, Kerajaan Persekutuan mendapat hasil langsung sebanyak RM18 juta sehari dan dijangka mengumpul tambahan hasil RM9 bilion setahun berbanding anggaran pendapatan Kerajaan Persekutuan yang diluluskan di dalam Bajet 2017. Rujuk http://rafiziramli.com/2017/02/harga-ron95-sepatutnya-kekal-rm2-30-seliter-kerajaan-persekutuan-untung-rm18-juta-sehari-dari-kenaikan-harga-minyak-mentah-dalam-januari-dan-februari-2017/

Jika benar pentadbiran Dato’ Seri Najib bercadang memperkenalkan harga siling yang disemak setiap minggu tanpa mengembalikan subsidi, ini adalah satu percubaan nakal untuk mencuci tangan apabila harga petrol dan diesel kekal tinggi dalam beberapa bulan akan datang. Saya berpendapat Dato’ Seri Najib bercadang memberi alasan-alasan berikut apabila harga petrol dan diesel diumumkan naik dalam bulan-bulan akan datang:

1. Harga petrol dan diesel tidak ditetapkan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib tetapi ditetapkan oleh syarikat minyak seperti PETRONAS, Shell, Petron, BHP, Caltex dan pengendali stesen minyak sendiri

2. Kenaikan harga petrol dan diesel setiap minggu (jika berlaku) adalah seperti yang dituntut oleh pembangkang sendiri kerana saya pernah menyuarakan perkara ini

Mekanisme harga siling dan semakan harga setiap minggu hanya akan berjaya menjaga kebajikan rakyat sekiranya ia dilaksanakan dengan pengembalian subsidi minyak untuk menentukan harga minyak tidak melepasi sesuatu harga yang difikirkan membebankan rakyat. Ia berfungsi begini:

i. Dalam suasana harga minyak mentah dunia naik (seperti sekarang), harga yang dikira mengikut formula hanya boleh mencapai harga siling, misalnya RM2 seliter bagi RON95. Sekiranya harga mengikut formula melepasi harga siling, Kerajaan Persekutuan yang mengutip hasil minyak mentah akan memberikan subsidi untuk mengekalkannya di paras harga siling

ii. Dalam suasana harga minyak mentah dunia turun (seperti 2014), harga yang disemak setiap minggu memastikan Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencukai rakyat secara sembunyi (iaitu apabila harga yang dibayar oleh rakyat lebih tinggi dari harga yang ditetapkan formula kerana formula lambat disemak).

Saya telah secara konsisten mendesak supaya subsidi minyak dikembalikan yang membolehkan mekanisme harga siling dan semakan mingguan boleh dibuat dengan memastikan rakyat tetap mendapat yang terbaik dalam suasana harga minyak dunia naik atau turun. Saya juga telah buktikan bagaimana ini mampu dilaksanakan kerana hasil luar jangka Kerajaan Persekutuan dari harga minyak mentah yang lebih mahal dari yang dianggarkan meningkatkan pendapatan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9 bilion setahun.

Cadangan pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk memperkenalkan harga siling dan semakan mingguan memberi kesan besar yang meningkatkan beban rakyat seperti berikut:

1. Harga minyak akan tetap tinggi kerana harga siling itu tidak berfungsi untuk mengekang kenaikan harga minyak tanpa mekanisme subsidi. Sebaliknya syarikat-syarikat minyak dan pengendali stesen minyak akan menetapkan harga pada harga siling seperti sekarang kerana mereka berkemungkinan menanggung kerugian jika menetapkannya lebih rendah kerana harga siling dikira mengikut formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan

2. Pendapatan pengendali stesen minyak di luar bandar akan berkurangan kerana mereka tidak mampu untuk menurunkan harga yang lebih rendah dari harga siling kerana mereka dibayar mengikut jumlah liter petrol dan diesel yang dijual setiap bulan. Di kawasan luar bandar yang jumlah isipadu jualannya lebih rendah kerana jumlah penduduk yang kurang padat, pengendali stesen minyak mungkin dituduh mengambil untung berlebihan apabila mereka tidak menurunkan harga minyak di bawah harga siling (yang memburukkan lagi pendapatan mereka).

Saya khuatir kesan (2) akan menyebabkan syarikat minyak dan pengendali stesen minyak melihat operasi stesen minyak di luar bandar tidak menguntungkan. Ini menimbulkan risiko syarikat minyak dan pengendali stesen minyak mengelak dari membuka lebih banyak stesen minyak di luar bandar; atau mungkin akan menjalankan rasionalisasi untuk menutup stesen-stesen minyak di luar bandar yang tidak menguntungkan.

Oleh yang demikian, cadangan memperkenalkan harga siling dan semakan mingguan tanpa mengembalikan subsidi adalah berbahaya dan akan memburukkan lagi keadaan. Ia tidak boleh dilaksanakan dengan hanya satu kenyataan tanpa perkara yang paling penting; iaitu kesediaan pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk mengembalikan subsidi minyak.

Saya akan menunggu reaksi dari Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, Menteri KPDNKK untuk menjawab perkara-perkara yang saya timbulkan ini. Pada masa yang sama, saya akan memastikan maklumat yang tepat sampai kepada rakyat supaya Dato’ Seri Najib tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya memastikan harga minyak yang tidak membebankan rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.