HARGA MINYAK NAIK MENDADAK JEJASKAN EKONOMI NEGARA

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif, untuk memastikan harga minyak di Malaysia tidak naik mendadak sehingga membebankan rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menegaskan, bahawa kenaikkan harga minyak secara mendadak akan memberi impak yang tidak sihat terhadap ekonomi negara.

“Walaupun keadaan harga minyak dunia stabil tetapi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bawa beberapa polisi yang menjelaskan ketidaktentuan global yang boleh menggugat pasaran minyak.

“Saya rasa kerajaan kena ambil langkah untuk pastikan harga minyak di Malaysia tidak naik mendadaK sehingga membebankan rakyat. Kenaikan harga minyak yang mendadak dan tinggi akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas senario semasa yang memperlihatkan ada kemungkinan harga runcit petrol dan diesel dijangka terus meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan meramalkan, dua punca utama kenaikan harga minyak di Malaysia ialah pertama, kenaikan harga minyak mentah di negara kita dan kedua, kadar pertukaran nilai mata ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Kerajaan kita telah menetapkan harga runcit minyak petrol dan diesel bergantung kepada apungan terurus melalui harga purata bulanan pasaran minyak dunia, manakala harga minyak mentah adalah dikira dengan dolar Amerika Syarikat.

“Oleh itu, saya nasihatkan pengguna agar bersiap sedia menghadapi situasi yang lebih mencabar lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang,” kata Tia Guan yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group.

Sebelum itu, berkuat kuasa mulai 1 Februari ini, RON 95 dijual pada harga RM2.30 seliter, RON 97 pada RM2.60 seliter dan diesel RM2.15 seliter. Ketiga-tiga bahan api tersebut naik mendadak daripada 20 sen bagi RON95, RON97 naik 20 sen manakala diesel naik 15 sen.

Oleh itu Azizuddin menyarankan agar kerajaan mengawal harga minyak dengan meningkatkan pengeluaran dan penawaran minyak dalam dan luar negara.

“Namun luar negara bergantung pada polisiĀ  Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec).

“Yang pasti kerajaan perlu memikirkan insentif lain yang boleh membantu rakyat bagi meringankan beban mereka,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.