HARAPAN TAK PERLU CONTOHI VERSI UMNO, PAS, KATA ZAID

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu Pakatan Harapan menangani agenda Melayu tetapi memberi amaran kepada gabungan parti pembangkang itu agar tidak mencontohi versi Umno dan PAS.

Sebaliknya, beliau berkata agenda HARAPAN mesti menjelaskan bagaimana orang Melayu akan mendapat manfaat daripada keistimewaan yang diberikan kepada mereka.

Menurut Zaid, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, kini bosan dengan Umno yang menyamakan kepentingan parti itu dengan agenda Melayu keseluruhannya.

Beliau berkata rakyat mahu mendengar tentang dasar praktikal yang digubal oleh kerajaan yang bertanggungjawab dan baik.

“Mereka bosan dengan ahli politik memomokkan DAP dan masyarakat Cina di Malaysia – seolah-olah tidak ada ketakutan selain apa yang dikatakan oleh para propaganda Umno,” kata bekas anggota parlimen Umno itu dalam satu catatan blog hari ini.

HARAPAN, kata Zaid, boleh menghilangkan “ketakutan palsu itu dengan menggantikannya dengan hakikat sebenar” berhubung kedudukan istimewa orang Melayu.

– M’kini

.