‘HARAPAN PERLU KETENGAH CALON PM MUDA’

Tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menamakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sebagai calon perdana menteri hanyalah cubaan untuk melaga-lagakan pembangkang.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata cadangan bekas pembantu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak boleh diterima kerana pernah menipu diliwat Anwar sehingga bekas pemimpin pembangkang itu dipenjara.

“Orang tipu pasal liwat saya tak boleh terima cakap dia, dia tipu berkaitan diliwat. Dia (Saiful) cuma nak laga-lagakan sahaja, dia nak laga-lagakan Azmin dengan Anwar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama media di Hotel Concorde Shah Alam, hari ini.

Katanya lagi, semakin hampir PRU14 yang akan berlangsung tidak lama lagi, maka akan ada lebih banyak lagi cubaan melaga-lagakan pemimpin pembangkang.

Menyegarkan politik tanah air

Zuraida berkata demikian mengulas cadangan Saiful bahawa Azmin adalah calon yang sesuai diangkat sebagai calon perdana menteri bagi pembangkang.

Saiful turut memuji kepimpinan Azmin berdasarkan pemerhatian sepanjang pengalaman bekerja dengan Anwar serta menyifatkan timbalan presiden PKR itu sebagai seorang ahli politik yang ‘pendiam tetapi licik’.

Bagaimanapun Zuraida berkata bagi menyegarkan politik tanah air, adalah perlu mengetengahkan calon perdana menteri yang muda.

“Tapi apapun saya tak nafikan untuk menyegarkan politik negara, keperluan kita ketengahkan calon PM yang muda, yang millennial dan outlook reformasi, diuji dan teruji,” katanya.

Ketika ditanya adakah individu yang dimaksudkan adalah Azmin Ali, beliau berkata ia boleh dipertimbangkan.

“Kalau rasa tepat dengan ciri yang saya sebut, boleh dipertimbangkan,” katanya sambil tersenyum.

Saiful adalah individu yang pernah menggemparkan negara apabila membuat laporan polis dan mendakwa diliwat Anwar pada Jun 2008.

Berikutan itu bekas majikannya itu didapati bersalah dan menjalani hukuman penjara selama lima tahun.

Bagaimanapun Anwar menegaskan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik.

– M’kini

.