HARAPAN MENANG ROYALTI MINYAK KELANTAN SENANG

Naib Pengerusi Parti Amanah (AMANAH), Datuk Husam Musa, berikrar untuk berjuang habis-habisan bagi mengembalikan royalti minyak buat Kelantan.

Bagaimanapun tegas beliau, keadaan itu akan menjadi kenyataan sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya memerintah negara selepaa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

“(Melalui HARAPAN) 14 kerusi parlimen di Kelantan mesti dikuasai.

“Apabila kita memerintah Malaysia, sudah tentu royalti minyak Kelantan akan dibayar.

“Kalau bimbang kerajaan baru tidak bagi royalti, kalau ambo (saya) menang dan masuk parlimen, ambo akan kejar perdana menteri baru siang malam sehingga royalti Kelantan dibayar,” katanya dalam tulisan terbaru di Facebook, hari ini.

Isu royalti daripada penggalian minyak di perairan Laut China Selatan menjadi antara isu yang diketengahkan Husam suatu ketika dulu.

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz sendiri penah memberikan perhatian serius kepada isu berkenaan dan mendapat sokongan beliau apabila dibawa ke mahkamah.

Turut bersedia menjadi saksi kepada saman itu ialah bekas menteri kanan Tengku Razaleigh Hamzah.

Tuntutan itu juga mendorong penubuhan sebuah pertubuhan pendesak dikenali sebagai Royalti (R) yang bergerak aktif mengadakan pelbagai program seperti ceramah, demonstrasi dan bantahan dengan dakwaan kerajaan BN menafikan hak royalti minyak milik Kelantan.

Sementara itu, Husam turut menempelak kerajaan Kelantan yang kini didakwa tidak lagi memperjuangkan perkara itu.

“Tuntutan royalti minyak tidak kedengaran lagi (diperjuang oleh kerajaan Kelantan), langkah-langkah konkrit untuk jayakan tuntutan itu langsung tidak diambil.

“Hasil pengeluaran minyak dan gas di laut Kelantan di telaga dan medan baru tidak lagi dipantau,” tegasnya.

– M’kini

.