HARAPAN MASIH ‘BEREBUT’ 21 KERUSI DUN SELANGOR

Keputusan pembahagian kerusi bagi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) di kalangan parti Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak menunjukkan perkembangan ketara hari ini.

Di sebalik keributan mengenainya minggu lalu, pertemuan pemimpin parti komponen HARAPAN menunjukkan hanya empat daripada 25 kerusi melibatkan tuntutan bertindih, berjaya diselesaikan.

Empat kerusi itu ialah kawasan yang sekarang diwakili pembangkang Selangor atau PAS.

Mesyuarat selama sejam di Shah Alam itu turut menyelesaikan isu status quo pada kawasan yang memang dimiliki DAP, (15 kerusi), PKR (15 kerusi) dan Parti Amanah Negara (dua).

Wakil-wakil HARAPAN yang menghadiri mesyuarat hari ini juga mengesahkan wujud tuntutan bertindih bagi 21 kerusi lain.

Misalnya kawasan Lembah Jaya – yang kini diwakili PAS – menarik minat keempat-empat parti dalam HARAPAN.

Kawasan itu disasarkan kerana pola pengundi yang bercampur. PAS memenangi Lembah Jaya pada PRU ke-13 lalu dengan majoriti 8,713 undi.

Harap selesai segera

Sementara itu Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo kelihatan berpuas hati dengan perkembangan rundingan hari ini.

“Mesyuarat hari ini berjalan dengan lancar dan kami membincangkan mengenai pembahagian kerusi,” katanya.

Anggota parlimen Puchong itu juga menjelaskan wakil HARAPAN menyedari bahawa pertemuan yang berlangsung tadi tidak boleh menyelesaikan semua tuntutan kerusi.

Katanya perbicangan tadi berjaya menyelesaikan pembahagian 35 daripada 56 kerusi yang ada dalam DUN Selangor.

“Maksudnya kami berjaya menyelesaikan antara 60 hingga 62 peratus pembahagian kerusi secara keseluruhan,” katanya.

Gobind bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi yang sudah mendapat persetujuan bersama itu selain berkata, ia termasuk kawasan yang memang diwakili wakil rakyat HARAPAN.

Ditanya lebih lanjut Gobind berkata HARAPAN Selangor tidak menetapkan sebarang jangka masa khusus untuk menyelesaikan pembahagian berkenaan.

“Kami berharap ia boleh diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

– M’kini

.