HARAPAN KEPADA MAJLIS RAJA-RAJA

Esok 11 hingga 13 Oktober 2016, akan berlangsung Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Selain sudah mempersembahkan Deklarasi Rakyat kepada Yang Dipertuan Agong, Tun Mahathir Mohamad pada minggu lalu turut mengumumkan bahawa deklarasi yang ditandatangani oleh 1.2 juta penandatangan itu akan juga dipersembahkan kepada semua Raja-Raja Melayu.

Berikutan kemelut yang berterusan dalam negara, ramai yang mengharapkan Majlis Raja-Raja yang mupa bermesyuarat esok akan dapat berbuat sesuatu demi kepentingan rakyat dan negara.

Mungkinkah, sebagaimana sebelum ini Majlis Raja-Raja membuat teguran terhadap kerajaan berkenaan penyiasatan terhadap 1MDB, maka kali ini sekali lagi Majlis Raja-Raja akan menunjukkan keprihatinannya?

Di bawah ini pula ialah kenyataan media oleh Mahfuz Omar dalam isu yang berkaitan. Sama-sama kita mendoakan. (SH 10/10/2016).
KENYATAAN MEDIA MAHFUZ OMAR, AHLI PARLIMEN POKOK SENA – PALING TIDAK MAJLIS RAJA-RAJA BOLEH MEMPERAKUI KANDUNGAN DEKLARASI RAKYAT DAN MENYATAKAN HILANG KEPERCAYAAN KEPADA NAJIB.

1. Hari ini rakyat menanti dengan penuh debar akan keputusan Majlis Raja-Raja yang akan bermesyuarat pada 11 Okt – 13 Okt 2016 bagi membincangkan hal-hal yang bersangkut paut dengan kepentingan rakyat dan negara. Di saat rakyat sedang berhempas pulas dengan keperitan hidup menanggung kos kehidupan yang meningkat akibat dari PM Najib dan kerajaan Umno BN yang ampunya angkara adalah tidak wajar Majlis Raja- Raja membiarkan keadaan menjadi lebih buruk.

2. Kerosakan ekonomi kewangan negara berpunca dari korupsi, 1MDB dan isu salah guna kuasa PM Najib dengan mencengkam institusi perundangan membawa kesan kepada kehilangan kepercayaan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa. Adalah suatu yang sangat tidak wajar untuk membiarkan PM Najib terus berdiri gagah sebagai PM Malaysia dengan menyerang dan bertindak terhadap rakyat yang membongkar segala penyelewengan yang dilakukannya dengan mencengkam institusi perundangan melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan.

3.Apa yang lebih menyedihkan apabila Raja-Raja iaitu kuasa Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong dalam urusan keselamatan dan pengistiharan darurat dirampas oleh PM Najib melalui akta MKN yang diwujudkan dengan menyalah-gunakan kuasa majoriti mudah di Parlimen memansuhkan kuasa Yang Di Pertuan Agong (YDPA).

4. Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada kali ini sangat penting untuk Raja-Raja menterjemahkan ungkapan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’. Tanpa rakyat tiada lah Raja. Walaupun sukar untuk Majlis Raja-Raja khususnya YDPA untuk memecat PM Najib tetapi paling kurang Majlis Raja-Raja boleh memperakui kandungan ‘Deklarasi Rakyat’ yang di tandatangani 1.2 juta rakyat Malaysia dan menyatakan hilang kepercayaan kepada PM Najib tetapi tidak dapat bertindak untuk memecatnya kerana halangan undang undang. Walaupun ada pertikaian dalam mentafsirkan kandungan kuasa YDPA dalam Perlembagaan. Tetapi sudah cukup bagi saya untuk mengubat luka hati rakyat Malaysia serta memberi makna ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’.

Ampun Tuanku

DATO’HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

–¬†shahbudindotcom.blogspot.m