HARAPAN KELANTAN UMUM FORMULA 5-4-1-1

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan, Datuk Husam Musa mengumumkan barisan kepimpinan gabungan itu dengan formula 5-4-1-1 di antara empat parti komponennya.

Parti Amanah Negara (AMANAH) memegang lima jawatan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diberikan empat jawatan. Manakala DAP dan PKR masing-masing memegang satu jawatan dalam struktur kepimpinan baru itu.

Bercakap pada sidang media di Wisma Tok Guru, di Salor hari ini, Husam melantik empat timbalan pengerusi yang terdiri daripada Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (AMANAH), Datuk Kamaruddin Md Noor (BERSATU), Ab Aziz Ab Kadir (PKR) dan Chua Chin Shui daripada parti DAP.

AMANAH juga dibarisi Mazlan Abdul Rahman sebagai setiausaha dan Mohamad Husin sebagai pegarah jawatankuasa tawaran dan Pengarah Undang-undang, Hisham Fauzi.

Sementara itu, tiga lagi pimpinan BERSATU diisi oleh Pengarah Pilihan Raya Datuk Sazmi Miah, Zulkifli Zakaria sebagai ketua penerangan dan ketua sekretariat dipegang Soberi Shafii.

Bagi jawatan pengerusi pilihan raya pula dipegang oleh Wan Abd Rahim.

Setakat ini, HARAPAN Kelantan belum memutuskan pelantikan bendahari dan menetapkan kepimpinan pemuda dan wanita yang akan dibincangkan kemudian.

Mengulas mengenai pembetulan majlis kepimpinan HARAPAN negeri itu, Husam berkata, Kelantan adalah sebuah negeri penting kerana mereka akan berhadapan dengan parti daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Menurutnya, kerana itu kemajuan kedudukan politik HARAPAN di Kelantan banyak akan menentukan senario Malaysia.

“Kelantan satu negeri yang ditadbir oleh PAS dan kerana itu kami mempunyai tanggungjawab penting.

“Pembentukan HARAPAN Kelantan akan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai parti-parti dalam HARAPAN di peringkat negeri dan ini boleh menyumbang kejayaan HARAPAN di peringkat nasional,” katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor.

Tambah beliau, Kelantan yang mempunyai 14 kerusi parlimen dirasakan perlu dikuasai pada pilihan raya umum akan datang untuk membolehkan HARAPAN mentadbir Malaysia.

– M’kini

.