HARAPAN JANJI IKTIRAF UEC JIKA MENANG PRU14

Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi jaminan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jika menang pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ketua Setiausaha Majlis Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu selaras dengan pendirian gabungan pembangkang sebelum ini.

“Sebagai Ketua Setiausaha Majlis HARAPAN saya ingin menjelaskan bahawa jika HARAPAN membentuk kerajaan persekutuan, kita akan mengiktiraf UEC. Ini adalah kesinambungan daripada pendirian Pakatan Rakyat dalam manifesto pilihan raya umum lalu yang telah berjanji untuk memberi pengiktirafan.

“Di Selangor, UNISEL yang dimiliki oleh kerajaan negeri (diketuai oleh Menteri Besar PKR) telah mengiktiraf UEC,” kata Saifuddin pada majlis DAP di Bentong.

Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menafikan HARAPAN tidak akan mengiktiraf UEC.

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata UEC perlu diteliti berdasarkan dasar pendidikan serta tidak bertentangan dengan hasrat negara.

Saifuddin berkata HARAPAN melihat isu UEC adalah penting, malah lebih 500,000 pelajar telah menduduki peperiksaan tersebut sejak ia diperkenalkan pada tahun 1975.

Katanya, pada masa ini sahaja seramai 7,000 pelajar menduduki peperiksaan peringkat senior bagi membolehkan mereka menggunakan sijil tersebut untuk kemasukan ke peringkat lebih tinggi di universiti antarabangsa.

“Tetapi oleh kerana kerajaan BN tidak mengiktiraf UEC, mereka perlu sama ada belajar di universiti swasta tempatan atau ke luar negara,” kata Saifuddin yang juga bekas timbalan menteri pelajaran.

“Belajar di luar negara atau di universiti-universiti swasta tempatan adalah mahal. Sebagai rakyat Malaysia, mereka perlu diberi tawaran yang lebih adil dengan membenarkan mereka untuk belajar di universiti-universiti tempatan kita,” katanya.

Tambah Saifuddin, tindakan tidak mengiktiraf UEC juga boleh memburukkan lagi isu pengaliran keluar tenaga pakar di mana pelajar cemerlang memilih untuk tinggal di luar negara sebaik sahaja tamat pengajian.

UEC merupakan akronim kepada Unified Examinations Certificate (UEC) — sejenis peperiksaan yang dikendalikan oleh Dong Jiao Zong, atau Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia dalam mengakreditasi pelajar-pelajar mereka di negara ini.
Ia mula dilaksanakan sejak 1975 dan diiktiraf oleh pusat pengajian tinggi di England, Amerika Syarikat, Australia, China dan Taiwan.

Bagaimanapun kecuali universiti swasta, universiti-universiti awam di Malaysia tidak mengiktiraf dan menerima pakai sijil ini.

– M’kini

.