HARAPAN: ISU KUIL DIROBOH, KHALED TAK CERMAT

Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor hari ini mempersoalkan keupayaan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengendalikan isu-isu sensitif di negeri ini selepas perobohan sebuah kuil Hindu yang berusia hampir 80 tahun di Masai, Johor.

Dalam satu kenyataan bersama, HARAPAN kesal dengan sikap kerajaan negeri berikutan perobohan kuil yang terletak di kawasan Parlimen Pasir Gudang yang diwakili Khaled.

“Kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penjelasannya pada hari ini sepertimana disiarkan Malaysiakini hanyalah membuktikan beliau tidak cermat menangani kepentingan apatah lagi sensitiviti masyarakat berbilang kaum khususnya masyarakat India di Johor,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi HARAPAN Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan

Khaled hari ini menafikan kuil milik Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar itu dirobohkan kerajaan negeri.

Beliau berkata kuil berkenaan terletak di atas tanah persendirian dan perobohan dilakukan oleh individu pemilik sah tanah atas kapasitinya selaku tuan tanah.

Beliau menambah kerajaan negeri telah menawarkan pemilik kuil sebidang tanah baru tetapi tawaran itu ditolak.

Bagaimanapun, HARAPAN berkata Khaled tidak boleh berlepas tangan walaupun kerajaan negeri telah menawarkan lokasi baru bagi menggantikan tapak kuil berkenaan.

“Sebagai seorang bergelar menteri besar, Khaled tidak boleh berasa ‘cukup’ sekadar menuding jari kepada pihak tuan tanah mahupun kuil dengan beranggapan kerajaan negeri telah mengambil tindakan yang sepatutnya dengan menawarkan lokasi gantian.

“Beliau sepatutnya bertindak awal memainkan peranan yang lebih.

“Insiden perobohan kuil Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar di Masai yang membangkitkan kemarahan masyarakat India beragama Hindu ini tidak sepatutnya berlaku,” jelas mereka.

HARAPAN juga melahirkan kebimbangan bahawa kejadian itu akan disusuli insiden ditempat lain akikibat kurangnya sensitiviti serta lemahnya kepemimpinan Khaled.

– M’kini

.