HARAPAN AKAN TERUS FAIL BANTAHAN ISU KEM SEGAMAT

SEGAMAT – Pakatan Harapan (Harapan) akan terus memafailkan bantahan terhadap pemindahan anggota tentera atau pasangan mereka ke Kem Segamat di kawasan Dun Jementah yang masih belum siap dibina.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, bantahan tersebut akan dibantu oleh pengundi-pengundi di Parlimen Segamat yang akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, hari ini.

 “Apa yang menjadi isu, Kem Segamat ini masih dalam proses pembinaan dan papan notis di luar tapak pembinaan menunjukkan bahawa tarikh kem tersebut siap dibina adalah pada 16 April 2018.

“Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2017 yang sedang dipamerkan telah menunjukkan pendaftaran seramai 1,051 pengundi tentera atau pasangan mereka di Parlimen Segamat dan Dun Jementah,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Sesi Dialog Bantah Pengundi Mencurigakan di Jalan Syed Datuk Abdul Kadir, Kampung Abdullah, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Adun Jementah, Tan Chen Choon; Ketua Cabang PKR Segamat, Natrah Ismail dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segamat, Norsamsu Mohd Yusof.

Menurutnya, selain di Segamat, terdapat tiga kem tentera baharu yang bakal dibina di Negeri Johor iaitu di Paloh, Kluang dan di Pagoh, Muar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga menimbulkan keraguan sama ada untuk strategi pertahanan atau politik kerajaan.

Pada masa sama, beliau mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Segamat yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam supaya segera menjawab isu ini yang disifatkan sebagai isu nasional.

“Ini menunjukkan ahli-ahli jemaah menteri (Hishammuddin dan Subramaniam) cuba untuk menang dalam PRU14 dengan cara ini adalah tidak patut dan rakyat di seluruh negara mesti sedar bahawa BN mahu menang dengan taktik-taktik yang tidak betul,” katanya.

Sementara itu, Kit Siang berkata, ini bukan kesalahan biasa yang melibatkan satu atau dua individu, sebaliknya melibatkan 1,051 pengundi dan secara jelas menunjukkan konspirasi BN menjelang PRU14.

Menurutnya, sekiranya tiada kosnpirasi di antara Kementerian Pertahanan (Mindef) dan SPR, pemindahan undi anggota tentera di Kem Segamat yang dijangka siap pada April tahun hadapan tidak mungkin akan berlaku.

“Sekiranya SPR hebat, satu siasatan terbuka perlu dilakukan kerana kita tidak mahu rakyat hilang kepercayaan terhadap SPR dan tidak mahu lebih ramai pengundi hantu akan wujud di dalam daftar pemilih.

“Apa yang luar biasa dalam perkara ini adalah penipuan sedang dibuat tanpa ada sebarang tindakan oleh pihak-pihak berkaitan dan saya lihat ini adalah satu tindakan untuk menyelamatkan Umno dan BN,” katanya.

– Sinar Harian

.