HARAPAN ADA PELUANG JIKA ANWAR BERKEMPEN

SHAH ALAM – Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara yang dijangka pada 8 Jun depan, memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (Harapan) sekiranya PRU14 berlangsung seperti bayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pengaruh dan kelebihan Anwar dilihat bakal memberi kesan positif terhadap gabungan pembangkang itu.

“Jika beliau (Anwar) bebas, Harapan ada kelebihan sebab Anwar banyak pengaruh. Kebolehan beliau dalam berpidato juga beri kelebihan kepada Harapan.

“Jadi kalau BN bimbang mengenai Anwar, mereka perlu buat PRU14 sebelum Jun,” katanya.

Semalam, Najib memberi bayangan PRU14 akan diadakan sebelum musim haji yang dijadualkan bermula pada Julai depan.

Mengulas lanjut mengenai bayangan tarikh PRU14 oleh Najib, Nik Ahmad Kamal berpendapat ia adalah tempoh sesuai.

“Jika PRU14 berlaku ketika musim haji, maka lebih 20,000 pengundi tidak boleh jalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi kerana menunaikan ibadat haji,” katanya.

Pada masa sama katanya, beliau yakin tarikh sebenar PRU14 akan diisytiharkan selepas BN selesa dengan kedudukan mereka.

“Kelebihan juga akan berpihak kepada BN jika semua isu yang boleh membawa kesan kepada peluang kemenangan pada PRU14 telah diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

– Sinar Harian

.