HARAP HARAPAN RAKYAT, WARISAN DAPAT BEKERJASAMA

SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) diyakini akan menjalin kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal  Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, kedua-dua parti itu dijangka menjalin kerjasama bagi melahirkan sebuah pakatan politik pembangkang anak Sabah bertujuan menyaingi BN di sana.

“Buat masa ini, di Sabah sudah hilang dominasi parti pembangkang bersifat tempatan, dan banyak bergantung pada parti pembangkang berpusat di semenanjung seperti DAP dan PKR.

“Kerjasama Harapan Rakyat dan Warisan dilihat cuba meraih sokongan penduduk Sabah di Pantai Timur dan Barat negeri itu.

“Jika wujud tokoh kaum Kadazan bersama mereka, mungkin ini lebih membahayakan pola sokongan pada BN,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Presiden Harapan Rakyat, Datuk Seri Lajim Ukin memaklumkan pihaknya masih belum mempunyai cadangan untuk bergabung dengan Warisan berikutan mahu memberi tumpuan kepada parti baharu itu.

Md Shukri berkata,  penduduk  Cina Sabah kini  dilihat menyokong  pembangkang dan usaha Shafie serta Lajim akan memecahkan pola sokongan kaum serta etnik Bumiputera Islam di Sabah terhadap BN.

“Yang tinggal buat BN hanya sokongan kuat tokoh Bumiputera bukan Islam terutama kaum Kadazan-Dusun di kawasan pedalaman negeri itu,” katanya.

Sekiranya Harapan Rakyat dan Warisan mampu bekerjasama dengan baik serta mengatur strategi berkesan, katanya, parti itu akan menguasai sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi di Dun dan Parlimen di negeri itu.

Menurutnya, BN perlu melaksanakan penelitian strategik memandangkan keadaan ini pastinya akan menjejaskan prestasi  di peringkat pusat.

“Sudahlah jangkaan politik di Kedah, Johor dan Terengganu menunjukkan BN sedang berdepan  ancaman kehilangan beberapa kerusi parlimen.

“Kini ditambah kusut pula dengan usaha Lajim dan Shafie. Perkara ini perlu dipandang serius,” katanya.

Selain itu, Md Shukri berkata, BN kini mungkin selesa dengan anggapan bahawa Pas akan memecahkan undi dengan bertanding secara sendirian dan mewujudkan pertemuan tiga penjuru di banyak kawasan.

Namun begitu, beliau berkata, sekiranya Pas bertindak melakukan u-turn dan bersama pakatan baharu pembangkang, ia akan menyebabkan  pertemuan satu lawan satu dan  mengakibatkan BN hilang kuasa sebagai kerajaan pusat.

“Kini Pas adalah kuasa menentu jatuh bangun pembangkang dan BN.

“Berlainan dengan situasi di Sabah, mereka perlu kombinasi restu kaum Cina, Bumiputera Islam dan Kadazan Dusun,” katanya.

SINAR HARIAN

.