HARAP ADA VIP SUDI BERI KERUSI PADA DR M DI ISTIADAT AGONG

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memohon agara ada orang kenamaan yang diundang ke istiadat menandatangani surat sumpah Yang di-Pertuan Agong memberikan kerusi mereka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kepada Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk yang bakal hadir, alangkah eloknya sekira ada dua kerusi yang dapat dilapangkan dan diberi kepada Tun (Mahathir) dan Tun Siti (Hasmah Ali).

“Saya pasti berjuta rakyat Malaysia akan berterima kasih dan amat menyanjung kemuliaan hati dan budi Tuan,” kata ketua Armada BERSATU Syed Saddiq.

Kata pendebat terbaik Asia itu orang Melayu memang terkenal dengan budi bahasa tinggi, manakala rakyat Malaysia akrab dengan sifat santun serta hormat.

Namun katanya ia bukanlah alasan untuk seorang negarawan seperti Dr Mahathir diperlakukan begitu.

“Memang benar Tun M (Dr Mahathir) sudah melangkah meninggalkan Umno, tapi bukankah beliau juga seorang negarawan?

“Bukankah dulu beliau pernah berkorban masa dan tenaga untuk membangunkan bangsa?

“Bukankah suatu masa dulu, Tun disanjung sebagai perdana menteri yang berjaya menaikkan nama Malaysia?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu dikatakan tidak lagi dijemput menghadiri majlisistiadat menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember ini.

Hormat tak hilang

Ia dimaklumkan melalui sepucuk surat – bertarikh 5 Disember – daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kepada Dr Mahathir.

Melalui surat itu difahamkan Dr Mahathir diberitahu bahawa jemputan kepadanya untuk istiadat berkenaan dibatalkan.

Surat tersebut didakwa disampaikan kepada pengerusi BERSATU itu bagi mengelakkan sebarang “kesipuan (embarrassment).

Langkah itu tidak disenangi banyak pihak dan ia dikaitkan dengan pembabitkan Dr Mahathir dengan pembangkang selepas beliau meninggalkan Umno pada akhir Februari lalu.

Sejak itu beliau menjadi sasaran kritikan Umno.

Kata Syed Saddiq, tindakan yang dikenakan ke atas Dr Mahathir seolah-olah menunjukkan tiada lagi rasa hormat kepada tokoh berkenaan.

“Dulu pun Tun pernah bertelagah dengan negarawan negarawan lain (seperti) Ku Li (Tengku Razaleigh), Tun Hussein Onn, Tunku Abdul Rahman.

“Semua ini nama-nama negarawan yang pernah berbakti dan kemudian tidak bersetuju dgn pentadbiran Tun.

“Namun tak pernah hilang rasa hormat Tun pada mereka.

“Tak pernah ditarik kelebihan yang mereka terima. Tak pernah dihantar surat mengelak “kesipuan” kerana tiada kerusi,” katanya.

– M’kini

.