HARAM ROSAKKAN UNDI, KATA HADI

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata haram bagi umat Islam memulaukan pilihan raya atau merosakkan kertas undi berdasarkan ketetapan yang dijelaskan dalam ayat-ayat al-Quran.

Dalam satu tulisan disiarkan di portal Harakahdaily, Abdul Hadi turut menjelaskan mengenai kepentingan politik kenegaraan dan demokrasi dalam pandangan Islam.

“Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepimpinan umat yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara,” katanya bersandarkan kepada ayat al-Quran seperti surah Ali Imran ayat 110.

Menurut Abdul Hadi pilihan raya adalah alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan bermasyarakat dan sebahagian daripada syariat Islam, termasuk kewajipan melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar.

“Allah telah mewajibkan adanya kumpulan dalam kalangan umat Islam yang melaksanakannya,” kata anggota parlimen Marang itu.

Baru-baru ini kempen #Undi Rosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU tular menerusi laman sosial.

Kempen berkenaan mengajak golongan muda merosakkan undi pada pilihan raya umum akan datang dengan alasan tiada beza antara BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menurut Hadi, para ulama Islam dalam huraian “maqasid syariah” menegaskan “apa yang tidak didapati semuanya tidak boleh ditinggalkan semuanya” dan kaedah “mengambil kemudaratan yang lebih ringan di kalangan adanya dua yang memberi mudarat”.

Justeru beliau berkata tindakan memulau pilihan raya atau merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya kepada rakyat.

“Memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik kalau memerintah atau berpeluang menjadi pembangkang yang menasihat yang menjadi jihad paling afdal kebajikannya kepada rakyat dan negara.

“Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing yang menjajah semula,” katanya.

– M’kini

.