HAPUS GST DALAM 100 HARI

KUALA SELANGOR – “Jika Pakatan Harapan diberi mandat, dalam tempoh 100 hari kita akan hapuskan GST,” kata Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, Pakatan Harapan amat prihatin dengan masalah rakyat yang terbeban dengan isu kos sara hidup yang semakin meningkat lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan GST.

“Tidak dinafikan kos hidup rakyat semakin meningkat selepas pelaksanaan GST dan kita tiada kuasa untuk membatalkannya kerana BN masih berkuasa mentadbir negara ini.

“Saya berjanji jika Pakatan Harapan diberi mandat, kita akan lakukan (hapuskan GST) dalam tempoh tersebut,” katanya selepas bersarapan pagi bersama penduduk setempat di Kampung Pasir Tuntung, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada program Santuni Masyarakat Kampung Nelayan: Kampung Pasir Tuntung bagi kawasan Kuala Selangor sempena Jelajah Keadilan Peduli Rakyat  2017.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor itu berkata, kejayaan Pakatan Harapan terbukti mentadbir Selangor dengan baik sehingga mampu menjadi negeri termaju dalam negara.

“Kita berjaya urus tadbir Selangor dengan baik dan tidak mustahil, Pakatan Harapan mampu tadbir Putrajaya nanti… bahkan saya berjanji akan berikan khidmat terbaik.

“Kita bela nasib rakyat sebaik mungkin tak kira warga petani, penternak dan peladang serta memfokuskan pembangunan desa dengan peruntukan lebih banyak untuk Bajet Selangor 2018.

“Kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada pembangunan desa supaya kekayaan Selangor tidak dilimpahkan kepada pembangunan bandar semata-mata.

“Saya mahu orang kampung turut menikmati manfaat bersama,” katanya yang turut memberikan sumbangan jaring dan kerusi roda kepada penduduk yang memerlukan.

– Sinar Harian

.