HANYA PERTEMUAN, BUKAN RUNDINGAN – HADI

KUALA TERENGGANU  – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pertemuan pemimpin atasan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam belum membawa ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Ketika pakatan pem­bangkang me­nyam­but baik perkemba­ngan terbaharu itu yang dilihat memberi harapan baharu bagi mereka, Abdul Hadi berkata, pertemuan semalam adalah pertemuan biasa atas permintaan PPBM, bukan suatu perundi­ngan khusus.

“Semalam ada pertemuan. PPBM minta jumpa dengan Pas. Jumpa sahaja. Belum ada apa-apa keputusan kerana perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat.

“Kita sudah buat garis panduan dan sempadan yang Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubu­ngan dengan DAP dan PAN. Setakat ini, hasil pertemuan belum dilapor lagi kepada saya,” ujarnya.

Media melaporkan, Pas dan PPBM akan membentuk sebuah jawatankuasa teknikal bagi mengambil tindakan susulan atas semua keputusan yang dipersetujui dan memperhalusi draf rangka kerjasama persefahaman politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kenyataan bersama yang memetik nama timbalan presiden kedua-dua parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua mereka semalam.

Abdul Hadi ber­kata, Pas sentiasa terbuka untuk bertemu dengan semua pihak, malah pernah mengadakan pertemuan dengan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.

Menurutnya, Pas telah memaklumkan kepada PPBM mengenai pendekatan politik baharu parti itu ke arah Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) di samping menolak politik fitnah dan serang-menyerang.

Ketika diminta mengulas mengenai sindiran Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub bahawa beliau hanya bermimpi di siang hari susulan impian untuk mendapatkan Terengganu dan Kedah serta menang 40 kerusi Parlimen sekiranya bersendirian, Abdul Hadi berkata, Pas berpijak di bumi nyata, tidak seperti PAN.

“Kalau kita tidur dengan baik, siang boleh mimpi, malam pun boleh mimpi. Yang penting ja­ngan tidur dalam keadaan yang susah dan rungsing. Pas tidak mimpi, kita berpijak di bumi nyata.

“Pas ada 160 kawasan di seluruh negara serta ada cawangan. Parti lain seperti DAP dan PAN tidak ada kawasan mahupun cawangan. Mereka bergerak atas angin,” katanya.

– UTUSAN

.