HANYA PENGKHIANAT SABOTAJ PARTI, KATA MUHYIDDIN

MANA-mana pihak yang cuba mensabotaj calon yang diletakkan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang adalah pengkhianat parti kerana ia hanya memberi kelebihan buat Barisan Nasional (BN), kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, sokongan padu harus diberikan kepada setiap calon tanpa mengira parti yang diwakili kerana mereka adalah calon PH.

“Kita mesti sokong calon kita tak kira parti mana akan bertanding, baik Bersatu, DAP, PKR, dan Amanah, semuanya adalah calon kita.

“Calon kita mestilah kita sokong 100 peratus, jangan ada pihak cuba sabotaj. Siapa sabotaj adalah pengkhianat,” kata Muhyiddin ketika berucap dalam Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam hari ini.

Muhyiddin turut berkata, PH juga akan meletakkan calon di setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setiap parti akan letakkan calon terbaik di setiap kawasan. Tidak akan ada kawasan di Parlimen dan DUN yang kita tak tanding,” katanya.

“Pejuang dalam PH kita terima dengan baik keputusan yang dibuat menerusi rundingan secara teratur, masa yang lama dan bertoleransi asas kita sudah ada di sini bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” kata Muhyiddin lagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tugas mereka dalam menghadapi PRU14 juga semakin mudah apabila rakyat kini menyedari mereka hanya mempunyai dua pilihan iaitu PH dan BN yang diketuai Umno sedang “berkhalwat” dengan PAS.

“Dalam pilihan raya ini kita berhadapan BN dan PAS yang sudah berpisah dengan kita dan nampaknya mereka berkhalwat dengan Umno.

“Jadi untuk rakyat lebih mudah, mereka akan sokong PH dan tentang siapa berkhalwat dengan Umno dan Umno,” katanya lagi.

PH sudah memuktamadkan pembahagian kerusi mereka untuk PRU14 namun Amanah Johor dilaporkan tidak berpuas hati dengan proses berkenaan.

Amanah Johor dikatakan hanya diberikan dua kerusi iaitu di Parlimen Pulai dan Parit Sulong berbanding lima kerusi yang diminta ketika rundingan.

Sehubungan itu, perwakilan Amanah Johor dilaporkan memboikot konvensyen PH di Shah Alam hari ini sebagai tanda protes mereka terhadap keputusan tersebut.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.