HANYA MIMPI LIM KIT SIANG

KOTA BHARU – Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kononnya Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 dengan memperoleh 113 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, bagaikan tidak berpijak di bumi nyata.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, asas Lim Kit Siang gunakan, iaitu 10 peratus pengundi Melayu dan 5 peratus pengundi bukan Melayu bertukar dari BN ke Pakatan, juga sangat lemah.

“Lim Kit Siang sendiri mengaku sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan berkurang kira-kira 30 peratus dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ekoran keluarnya Pas dari Pakatan, begitu juga sokongan pengundi bukan Melayu yang menurun kira-kira 10 peratus.

“Liew Chin Tong, mengaku di dalam laporan akhbar The Edge Malaysia keluaran 19-25 Jun lalu bahawa tahap sokongan pengundi bukan Melayu kepada pakatan menurun pada tahap 65 peratus berbanding 85 peratus dalam PRU 13 kerana faktor ‘kepenatan’.

“Ditambah pula bermacam masalah yang menimpa DAP sejak kebelakangan ini, termasuk dakwaan rasuah ke atas Ketua Menteri dan Ahli Exco Kerajaan Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Phee Boon Poh, yang menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu kepadanya.

“Oleh itu, tanpa penjelasan mengapa dan bagaimana perubahan drastik pengundi boleh berlaku, saya melihat kenyataan Lim Kit Siang ini tidak lebih daripada kenyataan syok sendiri bagi menyedapkan hati pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan sahaja,” katanya.

Kamarul Zaman diminta mengulas kenyataan Lim Kit Siang kelmarin kononnya Pakatan akan menguasai Putrajaya, selain akan turut mengalahkan BN di Pulau Pinang (37-3), Selangor (50-6), Perak (39-20), Johor (36-20) dan Negeri Sembilan (19-17), dalam PRU 14 nanti.

Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) itu juga berkata, projeksi Lim Kit Siang bahawa pakatan akan menguasai lima buah negeri, dengan Pas didakwa akan gagal mendapat walau satu kerusi pun di lima buah negeri ini, juga sukar diterima akal.

“Sukar untuk dibayangkan oleh mana-mana penganalisis yang waras bagaimana Pas yang memenangi 15 kerusi di Selangor, 5 kerusi di Perak, 4 kerusi di Johor dan 1 kerusi di Pulau Pinang dalam PRU 13 boleh kalah di semua kerusi negeri tersebut dalam PRU 14.

“Bagi saya, kenyataan Lim Kit Siang ini sebenarnya merupakan satu tamparan terbuka kepada rakan kongsi beliau di dalam Pakatan, iaitu Amanah dan Bersatu, yang begitu bersungguh-sungguh sekali berusaha untuk menguasai Kelantan dan Kedah.

“Bila Lim Kit Siang tidak memasukkan Kelantan dan Kedah ke dalam kategori negeri yang akan dimenangi oleh Pakatan dalam PRU14 maka sudah tentu moral pemimpin, ahli dan penyokong Amanah dan Bersatu di dua negeri tersebut akan jatuh merudum.

“Rakyat Kelantan khususnya akan bertanya mengapa Lim Kit Siang boleh mengumumkan Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa, sebagai bakal Menteri Besar Kelantan sebelum ini jika dalam projeksi beliau Pakatan tidak akan menang di negeri itu,” katanya.

Tambah Kamarul Zaman, walaupun BN dan Pas menghadapi masalah tersendiri, imej anti Melayu anti Islam DAP dan dominasi DAP dalam Pakatan dilihat sangat menyukarkan pakatan menambat hati pengundi Melayu Islam luar bandar yang berfikiran konservatif.

– http://www.sinarharian.com.my/

.