‘Hanya disertai 50 orang’

BUKIT MERTAJAM 9 Okt. – Hasrat penganjur konvoi Bersih 5 untuk melihat penyertaan yang ramai dalam siri jelajah di negeri ini tidak kesampaian selepas hanya disertai kira-kira 50 orang.
Situasi itu diibaratkan tamparan hebat kepada penganjur Bersih 5 memandangkan ia diadakan di negeri yang dikuasai pembangkang dengan majoriti pengundi DAP.

Malah, siri jelajah itu juga gagal menarik penyertaan seperti diha­rapkan meskipun sudah diuar-uarkan lebih awal sejak minggu lalu, selain dihadiri sendiri Pengerusi­nya, Maria Chin Abdullah.

Siri jelajah Bersih 5 itu juga tidak mendapat sambutan meskipun diadakan di dua lokasi berbeza di negeri ini sebagai tempat berkumpul iaitu di Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.

Dalam pada itu, Maria Chin ketika mengulas perkara tersebut berkata, mereka sememangnya tidak me­nyasarkan penyertaan yang tinggi dengan alasan tidak mahu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Orang ramai tidak hadir bukan disebabkan faktor lain seperti tuduhan rasuah yang dihadapi Ke­tua Menteri, Lim Guan Eng ketika ini sebaliknya kami sendiri tidak mahu orang terlalu ramai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelajah Bersih 5 di negeri ini pada mulanya dirancang di Seberang Perai sebelum kumpulan berkenaan bergerak ke Padang Kota, Georgetown pada sebelah petang.

Bagaimanapun, kumpulan itu bersurai pada pukul 12 tengah hari sebaik sahaja tiba di Batu Kawan.

Utusan Malaysia difahamkan, siri jelajah itu ditamatkan di Batu Kawan selepas tidak mendapat sambutan memandangkan hanya kira-kira 10 buah kereta sahaja yang menyertai konvoi di sekitar Machang Bubok yang diketuai Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Semalam, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalalathrash Wahid turut menasihatkan peserta konvoi Bersih 5 supaya tidak berkumpul di Padang Kota kerana dibimbangi akan berlaku kekecohan.

Sebelum ini juga, Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abdul Rahim turut mengingatkan pe­nganjur Bersih 5 tidak meneruskan hasrat berdemonstrasi di negeri ini sekiranya tidak mahu melihat tindak balas kumpulan Baju Merah.

Pada minggu lalu juga, lebih 3,000 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO menyertai demonstrasi aman yang dikenali Pemuda Bangkit di Persiaran Gurney di sini.

Selain bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang, demonstrasi aman Pemuda Bangkit itu juga sebagai tindak balas terhadap hasrat Bersih 5 mengadakan perhimpunan di negeri ini yang dirancang 19 November ini.

Dalam pada itu, Maria Chin ketika ditanya mengenai tindak ­balas kumpulan Baju Merah berkata, mereka tidak bimbang mengenai isu keselamatan kerana Bersih 5 turut mempunyai pasukan keselamatan sendiri.

– UTUSAN

.