HANYA DENGAN SEDIA SERTAI SATU LAWAN SATU, PAS DAPAT BUKTIKAN TIDAK PERNAH TERIMA RM90 JUTA

Ada dua perkara yang menjadi pertanyaan ramai mengenai Pas sekarang ini:-
– Apakah Pas akan bersama dengan parti-parti pembangkang untuk satu lawan satu dengan BN atau kekal bersendirian dan menjadikan pertandingan tiga penjuru yang dalam ertikata lain memberi kelebihan kepada Najib Razak, UMNO dan BN dalam PRU 14 akan datang?
– Bilakah saman terhadap Sarawak Report yang diumumkan lebih sebulan lalu oleh Hadi Awang sendiri akan menjadi kenyataan?
Meskipun beberapa pemimpin Pas ada menyatakan keinginan untuk melihat pertandingan satu lawan satu berhadapan dengan BN dalam PRU 14 akan datang, kenyataan yang serupa belum pernah keluar daripada mulut Hadi Awang selaku Presiden Pas atau Mursyidul Amnya, Dr Haron Din.
Ini menjadikan pendirian Pas masih menjadi tanda-tanya sama ada parti itu benar-benar mahu menumbangkan BN atau sebenarnya ingin menjadi “tongkat penyelamat” kepada kedudukan Najib, UMNO dan BN.
Sepertimana yang selalu diulang oleh Tun Mahathir Mohamad, parti-parti pembangkang yang tidak sedia berpakat untuk bertanding satu lawan satu menentang BN, ia adalah sama seperti memberi pertolongan kepada Najib yang sedang berhadapan dengan skandal kewangan berkaitan dirinya.
Sehingga ini, beberapa pemimpin kanan Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad, Iskandar Samad, Mustaffa Ali dan lain-lain nampak bersetuju dengan pendirian Tun Mahathir itu, cuma Hadi Awang dan Dr Haron Din yang merupakan “pemberi kata putus” berkaitan hala tuju parti itu, kekal tidak berbunyi dan berdiam diri.
Maka, pendirian Pas masih dianggap misteri dan tidak menentu.
Dalam waktu yang sama, Pas juga berhadapan dengan dakwaan menerima bantuan kewangan sebanyak RM90 juta daripada Najib yang dibuat oleh Sarawak Report, tidak lama sebelum ini.
Berikutan itu, Hadi Awang pada 13 Ogos lalu mengumumkan bahawa Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report dengan melantik seorang peguam kanan di London bagi tujuan tersebut.
Katanya lagi, proses itu akan dilakukan dalam tempoh sebulan daripada sekarang.
Oleh kerana hari ini sudah 14 September, bermakna sudah lebih sebulan masa berlalu dan masih tidak kedengaran apa-apa perkembangan mengenai saman itu.
Apakah ia akan tetap diteruskan, masih dalam proses rundingan dengan peguam atau sudah dibatalkan sebagaimana ura-ura saman Najib terhadap WSJ sebelum ini yang hanya gah dan berdentum-dentum di permulaan, tetapi akhirnya sunyi sepi sehingga sekarang?
Jika Pas berdiam diri dan tidak meneruskan saman, tanggapan ramai ialah mungkin benar parti itu atau pemimpin tertentunya ada menerima bantuan kewangan daripada Najib sepertimana yang didakwa Sarawak Report itu.
Berhadapan dengan dua persoalan yang menjadi pertanyaan ramai itu, Pas sebenarnya boleh menyelesaikannya secara serentak dan sekaligus meletakkan namanya kembali dihormati iaitu dengan mengumumkan secara rasmi untuk menyertai parti-parti pembangkang bagi berlawan satu lawan satu dengan BN.
Dengan berani berbuat demikian, isu wang RM90 juta yang didakwa diterima Pas daripada Najib akan terhakis dengan sendirinya. Sama ada saman diteruskan atau tidak terhadap Sarawak Report, tidak lagi menjadi persoalan besar.
Hanya jika Pas atau mana-mana pemimpinnya benar-benar tidak pernah terhutang budi atau tidak menerima budi daripada Najib, barulah ia tiada keraguan sama sekali untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan untuk berlawan dengan UMNO dan BN.
Selagi Hadi Awang dan Dr Haron Din berdiam diri mengenai kerjasama untuk berlawan dengan Najib, UMNO dan BN, dan dalam masa yang sama menangguh-nangguhkan pula tindakan saman, keraguan orangramai akan terus berkembang dan berakar umbi.
Lebih buruk kepada imej Pas ialah kiranya ia tidak sedia bekerjasama untuk satu lawan satu menentang BN dan tidak juga meneruskan saman terhadap Sarawak Report.
Dalam masa yang sama, Pas atau pemimpin tertentunya juga tidak harus menjadikan DAP dan kewujudan Amanah sebagai halangan untuk bekerjasama bersama parti-parti pembangkang bagi merealisaikan satu lawan satu menentang BN.
Jika Tun Mahathir dan Anwar sudah boleh bertemu, bersalaman dan menunjukkan jiwa besar demi kepentingan negara, apakah Pas tidak boleh mengambil sikap yang sama?
Lebih-lebih lagi, kalau benar pimpinan Pas, terutamanya Hadi Awang, lebih banyak membaca Al- Quran berbanding membaca Facebook, mereka juga tentunya lebih memahami erti kemaafan, tolak ansur, bekerjasama menentang kemungkaran dan keperluan menjauhi pemimpin yang lebih merosakkan negara dengan samunan, pembaziran dan kemewahan yang berterusan.