HANNAH YEOH: JANGAN GUNA KAUM DAN AGAMA UNTUK ALIH ISU SEBENAR PRU14

PILIHAN Raya Umum ke-14 tidak boleh berasaskan kepada isu perkauman dan agama yang digunakan untuk menutup rasuah serta ketidakcekapan kerajaan, kata Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh yang sekali lagi menjadi sasaran tuduhan berhubung agenda Kristian di Malaysia.

Merujuk kepada laporan polis dibuat kumpulan Muslim di Pulau Pinang berhubung video dan rencana tiga tahun lalu mengenai Kristian, ADUN DAP itu berkata wujud “dalang” yang sengaja menggunakan sentimen berkenaan untuk mengalih perhatian pengundi daripada isu lebih penting.

“Ini hanya untuk alih perhatian daripada isu sebenar seperti 1Malaysia Development Board (1MDB), kos sara hidup yang semakin tinggi, penurunan standard pendidikan, bajet makin kecil untuk pasukan polis, jabatan kebajikan dan hospital serta keselamatan anak seperti kejadian kebakaran di tahfiz minggu lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi aplikasi WhatsApp.

Lebih sedozen kumpulan Muslim di Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung satu video dan rencana mengenai Kristian yang disiarkan tiga tahun lalu, mendakwa ekstrem Kristian cuba menghasut orang ramai untuk bangkit dan menyerang negara.

Kumpulan itu termasuk Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Pekida, Perkasa dan PAS Pulau Pinang, juga mendakwa video bertajuk “Message to the Malaysian Church 2014”, yang boleh ditonton di YouTube, mengandungi elemen “menghasut”.

Yeoh mempersoalkan mengapa NGO Islam itu nampak seperti sengaja mengambil video di YouTube secara rawak dan kemudian mengaitkannya dengan DAP.

“Beginikah caranya pilihan raya akan datang? Kenapa asyik guna isu agama dan kaum untuk tutup mengenai rasuah dan ketidakcekapan?”

Kumpulan NGO Islam itu yang diketuai Mohd Hafiz Kassim berkata video berdurasi tujuh minit itu mengandungi mesej seperti “bersedia untuk berperang”.

Beliau kemudian menyebut tentang Yeoh yang didakwanya menggesa kumpulan pelajar Kristian, Overseas Christian Fellowship (OCF) pergi ke Pulau Pinang untuk membantu gerakan Kristian kerana ia perintah Tuhan, dalam bukunya “Becoming Hannah”.

Yeoh berkata beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Hafiz kerana ia hanya “membazir masa polis”.

“Dia tanya mengenai Negara Tuhan. Saya sudah pun beri jawapan. Polis ada benda lain lebih penting untuk dilakukan.

“Negara Tuhan disebut banyak kali dalam Bible mengenai kebenaran dalam menguruskan hati dan fikiran kita.

“Dia kata untuk sayang padanya, sayang jiran seperti kita sayang diri sendiri, menolak rasuah, rendah diri, tegakkan keadilan, menjaga anak yatim dan balu. Itulah dia apa Negara Tuhan,” katanya.

Hafiz berkata laporan itu menyebut mengenai laporan yang dibuat terhadap Yeoh sebelum ini di Selangor mengenai bukunya, masih belum diambil tindakan..

Katanya, buku Yeoh yang didakwa menyebarkan ajaran Kristian dijual secara terbuka yang tidak sepatutnya dibenarkan.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.