HAMIDAH PUN SOKONG AZMIN JADI PM HARAPAN

Bekas orang kuat Umno yang kemudian menjadi pemimpin Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) sebelum meninggalkan parti itu pula berkata individu paling layak diangkat sebagai perdana menteri jika BN dikalahkan ialah Datuk Seri Azmin Ali.

Menurut Datuk Hamidah Osman, Azmin mempunyai kewibawaan mencukupi sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia.

“Saya secara peribadi mengagumi pentadbiran Azmin,” katanya dalam satu pertemuan dengan Malaysiakini di Gombak, Selangor hari ini.

Namun Hamidah yang juga bekas ketua penerangan Wanita Umno Malaysia menjelaskan peluang Azmin itu mungkin terhalang oleh beberapa kekangan termasuk dari dalam partinya sendiri.

Kata Hamidah, ada tiga nama yang boleh menyekat Azmin untuk menjadi perdana menteri Malaysia, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismai, naib presiden parti berkenaan Nurul Izzah Anwar dan Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

HARAPAN pada konvensyen mereka 7 Jan lalu mengumumkan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika BN dapat diketepikan dari Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dr Wan Azizah pula dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun beberapa pihak menyatakan rasa tidak puas hati dengan pencalonan Dr Mahathir, termasuk dari kalangan kem dalam PKR sendiri.

Jadi matlamat kedua

Malah dalam kenyataan HARAPAN Selangor memberikan sokongan kepada ketetapan itu, PKR tidak menyertainya.

Untuk rekod Azmin ialah timbalan presiden PKR, menteri besar Selangor merangkap pengerusi PKR negeri berkenaan.

Menurut Hamidah jika Azmin mahu “selamat” apa yang boleh dilakukannya ialah berusaha menjadi presiden PKR.

“Azmin kalau nak selamat dia kena jadi presiden PKR, tapi masih banyak halangan,” katanya.

Sementara itu, mengulas pencalonan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri Hamidah berkata langkah berkenaan dipenuhi “agenda peribadi”.

Malah, kata Hamidah matlamat perjuangan HARAPAN kini juga telah jauh tersasar.

“Saya tengok perjuangan HARAPAN bersama Dr Mahathir hari ini sudah tersasar daripada landasan untuk menyelamatkan negara.

“Hari ini soal menyelamatkan negara sudah menjadi soal kedua, manakala soal utama ialah untuk menjadikan siapa perdana menteri dan siapa akan jadi perdana menteri selepas Dr Mahathir.

“Contohnya, semalam apabila Dr Mahathir nak jumpa Anwar semata-mata untuk mengucapkan terima kasih,” kata bekas naib presiden BERSATU itu.

– M’kini

.