HALIMAH YACOB PRESIDEN WANITA PERTAMA SINGAPURA

BEKAS Speaker Parlimen Halimah Yacob akan menjadi presiden Melayu pertama Singapura sejak lebih 47 tahun selepas Jabatan Pilihan Raya mengumumkan hanya beliau calon yang memenangi buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Presiden tanpa bertanding.

Dalam kenyataan Jabatan Pilihan Raya hari ini, jurucakapnya berkata dua lagi permohonan dari pengerusi Bourbon Offshore Asia Pacific Farid Khan, 62 dan Eksekutif Second Chance Properties Mohamed, Salleh Marican, 67, ditolak.

Halimah, 62, akan menjadi presiden Singapura yang ke lapan dan wanita pertama memegang jawatan itu di negara terbabit.

Pegawai Pemulangan, ketua eksekutif Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Ng Wai Choong, akan mengisytiharkannya sebagai presiden yang dipilih pada hari pencalonan pada Rabu.

Tempoh khidmat bekas presiden Tony Tan selama enam tahun tamat pada 31 Ogos dan pengerusi Majlis Penasihat Presiden JY Pillay menjadi pemangku presiden sejak 1 September lalu, dan akan kekal sehingga Halimah memulakan perkhidmatan.

Tiada undian akan diadakan dan Halimah akan memulakan tempoh perkhidmatannya sebagai presiden pada Khamis.

Pilihan Raya Presiden tahun ini menyaksikan ia dikhaskan kepada komuniti Melayu berikutan perubahan skim Pengundian Presiden yang diluluskan Parlimen pada November lalu.

Perubahan itu membolehkan pilihan raya dikhaskan kepada komuniti tertentu yang mana tiada wakil yang diundi sejak lima penggal lalu.

Presiden Yusof Ishak merupakan presiden pertama Singapura dan satu-satunya Melayu yang memegang jawatan itu sehingga beliau meninggal dunia pada 1970.

– Todayonline

.