HALANG BERSIH 5 ‘CEROBOH’ DATARAN MERDEKA – KHAIRY

KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu tegas dalam memastikan Perhimpunan Bersih 5 tidak ‘menceroboh’ Dataran Merdeka dan kawasan di sekitarnya pada 19 November ini.

Ketua Pemu­da UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Dataran Merdeka merupakan tempat ‘keramat’ dan bersejarah yang tidak boleh ‘dicemari’ dengan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah kepada negara.

Katanya, ma­sa­nya sudah tiba untuk pihak penguat kuasa bertegas dengan kumpulan yang saban tahun seolah-olah tidak takut dengan undang-undang dan berkeras ingin melakukan perhimpunan di situ meskipun mempunyai banyak lokasi lain yang boleh dijadikan tempat berkumpul.

“Dataran Merdeka adalah kawasan atau lokasi keramat untuk negara kita dan saya sebagai Ketua Pemuda membantah sekeras-kerasnya perhimpunan itu diadakan di situ.

“Saya berharap pihak ber­kuasa terutamanya PD­RM tidak membenarkan ma­na-mana pihak atau kum­pulan menceroboh Da­taran Merdeka demi kepentingan politik mereka,” katanya dalam si­dang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas 2016 dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Khairy mengulas pengumuman Pengerusi Bersih 5, Maria Chin Abdullah hari ini berkenaan pemilihan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan itu akan dijalankan pada 19 November depan.

Kali terakhir perhimpunan Bersih diadakan di Dataran Merdeka ialah pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu.

UTUSAN

.