HALA TUJU EZAM DIKETAHUI MINGGU DEPAN?

Setelah mengumumkan keluar daripada UMNO semalam, apa yang menjadi perhatian mengenai Ezam Mohd Nor sekarang ialah tentu saja tentang hala tuju baru yang bakal menjadi pilihannya.

Apakah beliau akan kembali kepada PKR, menyertai wadah baru PPBM atau menumpukan sepenuh masanya kepada NGO menentang rasuah yang telah ditubuhkannya sebelum ini?

Dalam hal tersebut, sumber yang dekat dengan Ezam memberitahu, bekas Senator itu dijangka akan membuat pengumuman mengenai pendirian barunya pada minggu depan.

Kata beliau, hala tuju baru Ezam itu dibuat setelah beliau membuat pertimbangan yang semasak-masaknya berdasarkan beberapa perkembangan yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini.

Tambah sumber itu lagi, pilihan yang bakal dibuat Ezam itu juga akan bersesuaian dengan kenyataannya semalam yang membangkitkan beberapa isu dalam negara seperti rasuah, ISA, OSA dan sebagainya.

Sementara itu, dengan keluarnya Ezam yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Selangor daripada parti itu, bermakna sudah dua orang pemimpin bahagian tersebut yang berbuat demikian. Ezam memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding pada pemilihan 2013 yang lalu.

Sebelum ini, Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Mohd Hamidi Abu Bakar turut meninggalkan UMNO sebagai menyahut cabaran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang mencabarnya berbuat demikian.

Nazri mencabar Mohd Hamidi meninggalkan UMNO berikutan kritikannya terhadap tindakan yang diambil MT UMNO terhadap Muhyiddin Yassin yang dianggapnya bakal membawa bencana kepada parti.

Pada minggu lalu, Mohd Hamidi menyerahkan borang penyertaannya ke dalam PPBM dalam satu majlis yang dihadiri oleh Mukhriz Mahathir.

Apakah kedua-dua bekas pemimpin UMNO Bahagian Kota Raja ini bakal sekali lagi bergandingan dalam PPBM?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.