HAFIZ KESAL SERTAI BERSATU

KUALA LUMPUR – Exco Armada, Muhammad Hafiz Azhar kesal kerana menyertai Bersatu yang disifatkannya tidak memberi kebebasan bersuara kepada anak muda.

Selain merasakan dirinya tersalah memilih perjuangan, Muhammad Hafiz bersedia untuk meninggalkan parti itu sekiranya tidak diberikan layanan adil.

Menurutnya, dia kecewa dengan tindakan parti yang menjatuhkan hukuman sedangkan dia hanya berniat untuk membersihkan nama pucuk pimpinan parti berkenaan.

“Apa yang saya bangkitkan bukan datang dari saya, tetapi dari akar umbi. Mengapa tiada yang jawab untuk bersihkan nama? “Saya agak kesal memilih perjuangan dengan parti ini kerana saya fikir dengan perjuangan baharu ini anak muda lebih bebas bersuara tetapi tidak ada,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Hafiz sebelum ini tampil mendesak Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad memperjelaskan mengenai tuduhan kekayaan dimiliki anak-anaknya yang diperoleh dalam masa singkat.

Manakala Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengenai tuduhan skandal dengan seorang wanita.

Desakan itu bagaimanapun disanggah Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mahu Muhammad Hafiz dirujuk kepada lembaga disiplin parti serta mendakwa dia tidak hadir mesyuarat sayap parti itu.

Sementara Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula mendakwa perkara itu dirancang sejak awal oleh parti lawan, khususnya Umno.

Muhammad Hafiz berkata, beliau menerima kecaman hebat daripada pihak yahng tidak berpuas hati termasuk mengaitkan keluarganya sekali.

“Ada pihak yang tak berpuas hati arah cybertrooper hentam, fitnah saya, dikatakan saya pemakan dedak, gunakan gambar isteri dan anak saya.

“Dalam kumpulan Whatsapp Armada pula, ada yang dakwa miliki maklumat nombor kad pengenalan isteri.

“Asalnya saya sangka ini perjuangan untuk mengubah nasib rakyat dan beri ruang anak muda bersuara, tapi lama kelamaan saya nampak (sebaliknya),” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, Mukhriz yang bertanggungjawab membawa beliau masuk ke dalam Bersatu dan menjadikannya sebagai Exco Armada.

“Nasihat saya pada anak muda, fikir masak-masak sebelum sertai Bersatu, tengok apa yang jadi pada saya. Fikir-fikirlah,“ katanya.

– SH

.