HADIAH PALING BERHARGA TRUMP KEPADA NAJIB SEMPENA PAU 2017

Najib Razak selalu berbangga  dapat berbaik dan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Malah, sebaik berjaya menduduki Rumah Putih, beliau lantas mendakwa Trump adalah rakan lamanya dan pernah bermain golf bersama beberapa tahun sebelum ini.
Sebab itu, dalam kunjungan pertama Najib bertemu rakan lamanya itu, selain membeli beberapa pesawat Boeing, beliau juga berjanji untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika melalui pelbagai pelaburan dalam bidang infrastruktur dengan menggunakan dana KWSP.
Dalam hati Najib, dengan apa yang dilakukannya itu, tentulah beliau mengharapkan sekurang-kurangnya ada balasan khabar gembira berhubung saman dan penyiasatan jenayah DOJ berkaitan 1MDB yang melibatkan Jho Low dan anak tirinya, Riza Aziz
Tetapi, lain yang diharap, lain pula yang menjelma.
Serentak dengan Perhimpunan Agung UMNO atau PAU 2017, Trump sebaliknya menghadiahkan khabar duka dan tidak disangka-sangka buat Najib.
Di sebalik semua jentera propaganda UMNO tetap berkeras mengatakan tiada wang yang hilang dalam skandal 1MDB dan hanya rekaan Pakatan Harapan, Peguam Negara Amerika Syarikat yang baru, Jeff Sessions menegaskan, kleptokrasi berkaitan syarikat pelaburan yang ditubuhkan Najib itu adalah yang paling teruk sekali.
Berucap di sebuah forum global anjuran Bank Dunia di Washington, Jeff Sessions yang diketahui merupakan orang pilihan dan kepercayaan Trump menegaskan, hampir separuh daripada AS$3.5 bilion kutipan rasuah yang berjaya dirampas oleh kerajaan Amerika Syarikat adalah datangnya daripada saman sivil berkaitan 1MDB.
Separuh daripada AS$3.5 bilion itu bermakna jumlah yang berjaya dirampas berkaitan 1MDB adalah sebanyak AS$1.75 bilion atau kira-kira RM7,000 juta.
Itu baru yang berjaya dirampas, belum lagi yang dihabiskan untuk berbelanja dan enjoy di sana-sini.
Dan kata Jeff Sessions lagi, tindakan itu berjaya dilakukan hanya melalui satu tindakan penguatkuasaan.
Hari ini DOJ sedang berusaha untuk memberi keadilan kepada mangsa-mangsa skim tersebut, tegas beliau seterusnya.
Terdedahnya perkara ini menjelang PAU 2017 tentulah menjadikan ia secara tidak langsung merupakan hadiah paling berharga daripada Trump, seorang rakan lama kepada Najib yang kini menjadikan Malaysia bertukar daripada demokrasi kepada kleptokrasi.
Tindakan Amerika Syarikat itu juga dengan sendirinya mengesahkan memang wujud kehilangan wang yang amat besar jumlahnya daripada 1MDB.
Jika tidak, harta bunian manakah yang berjaya dirampas oleh Amerika itu?
Dalam hal ini, apakah perwakilan UMNO tidak mahu membahaskannya dalam PAU 2017 atau mengucapkan terima kasih kepada Trump atas pemberian hadiah berharga kepada Najib itu?
Masihkah mereka mahu berilusi bersama dengan Abdul Rahman Dahlan yang menyifatkan tindakan di Amerika Syarikat itu tiada kaitan sama sekali dengan Najib?

Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, manakala Jho Low adalah rakannya, Riza Aziz pula anak tirinya, wang tunai serta hadiah barang kemas juga dikesan oleh DOJ bersumberkan dana yang diselewengkan itu, siapakah  yang mereka mahu tipu dengan terus-menerus mendakwa ia tiada kaitan dengan Najib sendiri?

– shahbudindotcom.blogspot.m

.