HADI YANG TAK SIHAT BOLEHLAH TERUS BEREHAT, AKTA 355 TIADA PUN DALAM JADUAL PARLIMEN

Di bawah ini adalah kenyataan media oleh Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.

Khusus kepada penyokong, ahli dan walaun Pas, harap baca dan teliti betul-betul kenyataan media Azalina ini.

Jika was-was, tidak pasti dan rasa kurang yakin, ambillah sedikit masa untuk membacanya dua atau tiga kali. Kemudian faham dan hadam betul-betul.

MENJUNJUNG KASIH TUANKU

KUALA LUMPUR –  Saya selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen menjujung kasih diatas perkenan Tuanku merasmikan Persidangan Dewan Rakyat Penggal Kelima Parlimen ke-13.

2. Saya juga berterima kasih atas perkenan Tuanku untuk memastikan pindaan Akta Kebankrapan 1967 diteruskan bagi memberi nafas baru kepada golongan bankrap. Selain itu juga, saya akan berusaha untuk memastikan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak dapat dibentangkan dalam sidang kali ini. 

3. Setakat 28 Februari 2017, sebanyak empat Rang Undang-Undang (RUU) telah disahkan akan dibuat bacaan Kedua dan Ketiga pada sidang ini. Dijangka terdapat juga Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan akan dibentangkan pada sidang kali ini.  

Antara RUU yang akan melalui bacaan Kedua dan Ketiga adalah RUU Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016; RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016; RUU Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016; dan RUU Setem (Pindaan) 2016.

 

4. Dengan pembukaan sidang kali ini yang menggunakan dewan asal yang telah dinaik taraf dan diubah suai, diharap mampu memberi suasana yang kondusif sekaligus memastikan perbahasan dapat berjalan dengan baik. Saya ucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli-Ahli Parlimen.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

6 Mac 2017.

Okay, dah baca dan faham?

Ada terjumpa Azalina sebut dalam kenyataan medianya itu mengenai Rang Undang-Undang Akta 355 yang sepatutnya dibaca untuk bacaan kali kedua oleh Presiden Pas dalam sidang Parlimen kali ini?

Mengapa tidak disebut sama-sekali mengenai Akta 355?

Penat-penat Pas mengajak penyokongnya berhimpun di Padang Merbok pada 18 Februari lalu sehingga negeri Kelantan sanggup mengisytiharkan cuti umum sehari selepasnya iaitu pada 19 Februari, malah sehingga ada juga Ahli Parlimen di bawa mencari teh tarik ke London dan mufti mahu disekeh kepalanya, alih-alih tiada pula Akta 355 yang digembar-gemburkan itu dalam jadual pembentangan di Parlimen.

Kenapa jadi begini?

Berbanding momokan kononnya UMNO akan bersama-sama dengan Pas untuk memartabatkan syiar Islam di negara ini, adakah ini menandakan parti itu sebaliknya lebih sayang kepada MCA, MIC, Gerakan dan komponen di Sabah serta Sarawak yang membantah keras Akta 355 itu?

Adakah bermakna Pas akan kena “kencing” sekali lagi oleh UMNO atau parti Islam itu tidak kisah pun berapa kali dikencing sebagaimana pernah diakui oleh salah seorang pemimpin kanannya?

Bilakah sebenarnya UMNO mahu memberi ruang kepada Akta 355 itu dibentangkan sedangkan ahli dan penyokong Pas sudah “naik stim” menjaja isu tersebut ke merata-rata tempat?

Apakah pendiran Pas selepas ini, masih mahukah mereka  berdakap mesra dan berkasih sayang dengan UMNO?

Oleh kerana Hadi Awang pun tidak berapa sihat ketika ini dan dilaporkan tidak hadir ke Parlimen semalam, maka beliau bolehlah terus berehat saja di rumahnya di Marang sehingga keadaan kesihatannya benar-benar pulih.

Tidak perlulah beliau tergesa-gesa untuk hadir ke Parlimen kerana nampaknya Akta 355 tiada pun dalam jadual untuk diberi ruang pembentangan untuk sessi kali ini. (ShahbudinHusin

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.