HADI TERIMA SANDANG KEHORMAT SILAT GAYONG

Tujuh pemimpin PAS, termasuk di peringkat tertinggi, menerima penghargaan sandang kehormat daripada Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia semalam.

Berlangsung di sebuah hotel di Muar, antara penerima sandang kebesaran itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang turut menyampaikan ucap utama di majlis berkenaan.

Abdul Hadi menerima sandang Mahkota Agong Seri Bintang Pelangi.

Penerima lain ialah Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menerima sandang Mahkota Seri Bintang Pelangi; Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil (Mahkota Seri Cahaya Pelangi); Naib Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin (Mahkota Seri Relang Pelangi); Ketua Dewan Ulama Pusat PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad (Mahkota Seri Bintang Pelangi) dan Pemangku Ketua Pemuda PAS Johor, Juwahir Amin (Mahkota Seri Bintang Pelangi).

Tidak ketinggalan menerima penghargaan itu ialah anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga timbalan ketua Pemuda PAS.

Muhammad Khalid (gambar, kiri) menerima sandang Mahkota Seri Relang Pelangi.

Menulis dari atas kapal Nautical Ayala yang sedang berlayar ke Myanmar, Muhammad Khalil berkata majlis Ikatan Ukhuwah Silat Wadah Penyatuan Ummah 2017 itu adalah detik bersejarah.

Katanya majlis itu diserikan dengan kehadiran Naib Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia iaitu Abdul Hadi.

Menurut Muhammad Khalil, apa yang berlaku itu adalah hasil usaha Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Dewan Pemuda PAS mengangkat kembali ilmu persilatan yang diwarisi turun-temurun.

“Bermula dengan berbusana songket pendekar Melayu di Muktamar Dewan Pemuda Pusat PAS tahun lepas bersama Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kami terus mengadakan pertemuan dengan persatuan serta pertubuhan silat agar dapat sama-sama berganding bahu menaikkan kembali seni warisan bangsa ini yang seolah-olah tenggelam di telan zaman,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook semalam.

Persilatan harus dipelajari

Menurut Muhammad Khalil, silat merupakan ilmu seni mempertahankan diri bangsa Melayu dan masyarakat Nusantara sejak turun-temurun.

“Ia merupakan seni warisan Melayu yang unggul yang perlu disemai, dipupuk dan diwarisi oleh setiap anak bangsa.

“Ilmu persilatan memerlukan ketekunan, disiplin serta mental yang tinggi untuk dihayati dan diamalkan. Setiap gerak geri dan seni tempurnya menggambarkan kehalusan seni serta budaya orang Melayu sejak zaman berzaman.

“Maka dengan itu ia wajar dipelihara serta diwarisi agar dapat dipertahankan dan tidak lapuk ditelan zaman,” katanya.

Menjelaskan kewajaran itu, Muhammad Khalil berkata, Islam menuntut umatnya agar Istiqamah dalam setiap perkara serta mempunyai disiplin tinggi.

“Di zaman Rasulullah SAW, permainan pedang dan memanah adalah salah satu cabang ilmu seni mempertahankan diri ketika itu.
“Ia dipelajari dengan meluas oleh orang Arab sama ada untuk mendalaminya, mempertahankan wilayah serta kampung halaman mereka, dan paling utama mempertahankan Islam yang pesat berkembang ketika itu.

“Maka ilmu persilatan juga harus dipelajari agar dapat diamalkan dan diperlakukan seperti zaman Rasulullah,” katanya.

Turut hadir di majlis penganugerahan sandang itu ialah anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim yang juga anggota parlimen Muar.

– M’kini

.