HADI SINDIR MAHATHIR DENGAN ISU BAHASA

Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengecam keras “pemimpin kita” yang pernah mengutamakan bahasa Inggeris dan mengabaikan bahasa Melayu di negara ini.

Tanpa menamakan “pemimpin kita itu” presiden PAS berkenaan berkata keinginan pihak terbabit mewajibkan bahasa Inggeris dalam sistem pembelajaran kononnya dibuat untuk memajukan negara.

Lebih parah, katanya, pihak yang dimaksudkannya itu mahu menjemput tenaga pengajar asing dan menyediakan peruntukan kewangan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris ketika ia sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lebih bermanfaat kepada negara dan rakyat.

“Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB) telah membuat kajian bahawa negara yang meninggalkan bahasanya, gagal mencapai kemajuan yang pesat dan terus bergantung dengan pihak lain tanpa merdeka,” katanya dalam kenyataan panjang lebar hari ini.

Abdul Hadi yang menjadi antara tokoh PAS cukup gemar menggunakan perumpamaan dan bidalan dalam ucapannya berkata generasi selepas merdeka mengambil langkah positif untuk memperkasakan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan kebangsaan.

Antara langkah diambil katanya ialah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain membuat perubahan terhadap institusi pendidikan di semua peringkat supaya bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu sehinggalah akhir 1970-an.

“Malangnya pada 1980-an dilakukan perubahan. Sekali pandang ke timur, sekali ke arah barat.

“Akhirnya dihanyutkan oleh ribut globalisasi berslogankan Orde Baru Dunia yang ditiupkan oleh Presiden Bush, iaitu bahasa Inggeris hendaklah menjadi bahasa dunia.

“Kita ikut berenang bersama arus itu, sehingga bahasa Inggeris menjadi kebanggaan kita. Tulisan bahasa kebangsaan dipinggirkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi makin halus di papan tanda perniagaan dan jalan raya.

“Kita menyaksikan juga betapa para pemimpin kuasa besar berucap dengan bahasa kebangsaan masing-masing di persidangan antarabangsa yang terbesar atau kecil seperti PBB dan majlis rasmi bersama tetamu asing.

“Tinggallah pemimpin dunia ketiga, sama ada yang sedang membangun atau terus terduduk tanpa bangun meninggalkan bahasanya.

“Mereka sangat bangga berucap dengan bahasa penjajah masing-masing. Inilah kesan dan pengaruh penjajah yang masih menghantui pemikiran masing-masing,” katanya lagi.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama kenyataan Abdul Hadi itu jelas merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Salahkan diri sendiri

Bekas perdana menteri berkenaan dikenali pernah mempromosikan Dasar Pandang Ke Timur pada 1982, selain kerajaannya memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003.

Bagaimanapun PPSMI kemudian dimansuhkan pada 2012 oleh menteri pendidikan ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perseteruan Abdul Hadi dengan Dr Mahathir sudah berlangsung sejak beberapa dekad lalu dengan masing-masing membuat serangan politik dari semasa ke semasa.

Terkini persaingan antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan PAS ketika kedua-dua pihak pembangkang berdepan cabaran pilihan raya umum (PRU) ke-14 nampak semakin sengit.

HARAPAN menggabungkan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

BERSATU menggabungkan Dr Mahathir dan Muhyiddin yang dianggap boleh menyaingi pengaruh Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Pada ketika sama pengkritik mendakwa PAS menjalin kerjasama tersirat dengan Umno apabila kedua-dua pihak – terutama membabitkan Abdul Hadi dan Najib – dilihat semakin mesra.

Bagaimanapun PAS menegaskan mereka beramal dengan budaya politik matang dan sejahtera.

Kata Abdul Hadi Wawasan 2020 – juga diperkenalkan Dr Mahathir – hanya tinggal dua tahun saja lagi umurnya namun kemajuan yang dicapai negara ini “masih bernyawa ikan”.

Secara berkias anggota parlimen Marang itu menyarankan Dr Mahathir supaya bertaubat.

“Namun Allah sentiasa membuka pintu taubatnya laksana seluas muka bumi ini dari timur hingga ke barat, atau sepanjang umur manusia sejak umur baligh sehingga nyawa berada di kerongkong.

“Jangan salahkan orang lain, salahkanlah diri sendiri,” katanya.

– M’kini

.