HADI SENTUH PERASAAN PENGUNDI DI KUBU KUAT ANWAR

WALAUPUN hanya 20 minit berucap, namun ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang nampaknya menyentuh perasaan pengundi di Permatang Pauh, yang terkenal sebagai kubu kuat Anwar Ibrahim.

“Pulau Pinang negeri bersejarah buat PAS sebab di sinilah parti ini mula ditubuhkan. Permatang Pauh juga istimewa buat kita, sebab bila kita kalah Kelantan pada 1979 selepas pengisytiharan darurat, selain kalah semua kerusi di Terengganu dan lain-lain, tapi kita menang kerusi di sini (Permatang Pauh) oleh Zabidi Ali pada 1978.”

Berlawanan dengan jangkaan umum yang PAS akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14, ucapan Hadi itu memberi gema yang mendalam buat hampir 5,000 pengunjung di sini.

Dalam ucapannya, Hadi menggesa pengundi Permatang Pauh memastikan kemenangan buat parti Islam di situ.

Ini adalah kemunculan ketiga Hadi, 70, di khalayak umum dalam hujung minggu ini, selepas melancarkan jentera pilihan raya Perak pada Sabtu dan selepas berdialog dengan NGO India pagi tadi.

Namun, kemunculan sekejap Hadi malam ini turut menjelaskan lagi kenyataan yang PAS telah memutuskan tali persaudaraan politik dengan PKR, apabila beliau “memecah masuk” kubu kuat Anwar Ibrahim ini.

Sebelum ini, exco Pemuda PAS Pulau Pinang Muhammad Hafiz Hashim mengingatkan penduduk Permatang Pauh yang PAS pernah mempertahankan Anwar apabila Dr Mahathir Mohamad memecatnya pada 1998.

“Tapi Anwar sekarang dah berbaik dengan Dr Mahathir balik. Apa dah jadi dengan perjuangan anda untuk dia selama ini?” kata Muhammad.

Ketua Kawasan PAS Permatang Pauh Omar Hassan berkata, bahagian ini akan bertanding di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Permatang Pauh.

“Kerusi Permatang Pauh adalah kerusi PAS yang disandang Zabidi Ali, jauh sebelum Anwar. Dan inilah masanya untuk kita mengambil balik kerusi ini,” kata Omar.

Ucapan Omar disambung pula oleh timbalan presiden Parti Cinta Malaysia Huan Chen Guan yang membuatkan pengunjung “panas punggung” apabila beliau menghentam Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Lim patut letak jawatan bila dia dituduh beli banglo, tapi dia tak buat (letak jawatan). Dia jugak mungkin pegang rekod sebagai seorang yang paling banyak saman orang,” kata Huan yang selama ini kerap menghentam DAP tetapi tidak pula menghentam skandal Barisan Nasional.

Katanya lagi, berdasarkan rekod memimpin, hanya ada dua parti sahaja yang boleh dipercayai yakni PAS dan Umno.

Bekas pemimpin Gerakan dan bekas ahli Parlimen Batu Kawan itu turut menggesa orang ramai memastikan kemenangan PAS di Permatang Pauh.

Anwar dan isterinya, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail telah memegang kerusi ini selama 36 tahun (1982-2018) selepas memenangi lapan pilihan raya umum dua pilihan raya kecil pada 2008 dan 2015.

Kemenangan pertama Anwar di Permatang Pauh adalah pada 1982. Beliau memegang kerusi selama empat penggal sebelum disumbat ke dalam penjarah atas salah laku liwat.

Kerusinya itu kemudian disandang oleh isterinya, Dr Wan Azizah dari 1999 hingga 2008 sebelum menyerahkan semula kepada suaminya dalam pilihan raya kecil pada 2004.

Bekas timbalan perdana menteri itu, kemudiannya terus mempertahankan kerusi itu untuk dua penggal (pilihan raya 2008 dan 2013) sebelum disumbatkan ke dalam penjara lagi atas salah laku liwat pada 2015. Isterinya menyandang kembali kerusi itu dalam pilihan raya kecil.

Permatang Pauh merupakan salah satu dari 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang. Ketika pilihan raya 2013, Barisan Nasional memenangi tiga kerusi, manakala DAP merampas tujuh kerusi sementara PKR pula dengan tiga kerusi.

Kawasan Permatang Pauh mempunyai lebih 71,000 pengundi di mana 70% adalah Melayu, 23% Cina dan 6% India. Parlimen itu terdiri dari tiga DUN.

Pada PRU13 lalu, PKR menang DUN Seberang Jaya dan Penanti manakala PAS menang DUN Permatang Pasir.

– https://www.themalaysianinsight.com

.