HADI: PAS TIDAK PERNAH KHIANAT DALAM PAKATAN

SHAH ALAM – Pas tidak pernah khianat dalam pakatan pembangkang, malah parti Islam itu sentiasa menghormati adab dan akhlak berpakat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ketika berada dalam pakatan, Pas sentiasa teguh dengan dasar dan matlamat yang wajib dihormati semua pihak.

“Dalam sejarah pakatan dengan pihak lain, Pas tak pernah khianat (dalam apa-apa pakatan), sehingga Pas dipecat daripada BN (pada 1978) dan terkini, DAP memecat Pas daripada Pakatan Harapan (PR),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Pas sentiasa bersabar menghadapi perangai parti lain yang campur tangan dalam urusan dalaman sehingga ada yang ‘meredah masuk ke dalam bilik rumah Pas’.

Malah, katanya, ada yang gambil kesempatan ‘mencuri dalam rumah Pas’ yang sedia buka pintu untuk mereka.

Katanya, dalam urusan pakatan Pas dengan pihak lain juga, parti itu pernah menyertai kerajaan campuran dan seterusnya bersama menubuhkan BN setelah negara menghadapi darurat sehingga berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

“DAP tidak bekerjasama ketika negara darurat. Pas menerima dengan terbuka tawaran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak (Hussein) setelah beliau setuju terima cadangan Pas.

“Pada waktu itu sebahagian besar pemimpin dan ahli Pas berlapang dada untuk bekerjasama walaupun unsur kezaliman dilakukan ke atas pemimpin Pas. Pas sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, menolak keadaan politiking murahan yang menjadikan rakyat dalam keadaan tenat, kerana Islam mengharamkan politik berunsur dendam,” katanya.

Sementara itu, menjawab dakwaan Pas akan menyertai BN, Abdul Hadi berkata, pihak yang menuduh itu sepatutnya cermin diri masing-masing.

“Pas tidak pelahap untuk menyertai BN hanya untuk meraih jawatan dalam Kabinet atau semata-mata mahu jadi perdana menteri laksana mi segera. Pas adalah parti yang turun ke medan rakyat, kini mempunyai 192 kawasan di seluruh negara dan hampir 10,000 cawangan hingga ke setiap ceruk pedalaman.

“Kini, Pas juga berjaya bina kumpulan penyokong daripada kalangan bukan Islam yang tidak hanya guna komputer dan berarak di jalan raya semata-mata untuk dapat sokongan rakyat,” katanya.

SINAR HARIAN

.