HADI: PAS TAK BOLEH BERSAMA, DALAM HARAPAN ADA PENYANGAK

PAS ketika ini lebih selesa untuk menjadi pihak yang berkecuali dalam mendepani krisis keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan tidak boleh bersama Pakatan Harapan (HARAPAN), kata presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, ini kerana di dalam HARAPAN ada pemimpin penyangak, yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

Abdul Hadi walau bagaimanapun tidak menyebut pemimpin yang dimaksudkannya itu.

“PAS tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

“Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan PAS,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, PAS juga tidak boleh bersama kerajaan iaitu pihak yang sentiasa dituduh oleh pembangkang, sehinggalah dibuktikan bersihnya atau kesalahannya.

“Kaedah kehakiman Islam yang dipakai oleh barat, menetapkan pihak yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah, selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukan oleh media tanpa sempadan.

“PAS juga tidak boleh terus berpihak sebelum dibuktikan bersihnya, khususnya dalam keadaan yang bergelumang dengan salah laku dan kelemahan urus tadbir yang diwarisi sejak pemimpin yang dahulu dan terdahulu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS percaya bahawa rakyat yang mahu menjadi hakim yang adil melalui pilihan raya itu sedang menghadapi krisis keyakinan bagi menentapkan hukumannya kepada siapa hendak dihukum atau dipersalahkan.

“Dalam keadaan penyakit politik wang yang menimpa rakyat dan menimpa Umno yang sedang memerintah, yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu dan selepasnya dan kini tidak mudah untuk diubati, namun tidak ada penyakit yang tidak ada ubat yang wajib dicari selagi belum mati, maka ikhtiar hendaklah diteruskan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Abdul Hadi yang juga adalah ahli parlimen Marang memuji sikap ditunjukkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Beliau bersikap mengikut konsep demokrasi yang sihat dengan menjadi anggota kerajaan yang memberi nasihat, dan masih ada lagi orang sepertinya di dalam kerajaan, namun tidak mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak bersopan,” katanya.

Ahmad Husni, pada 1 November lalu di Dewan Rakyat, berkata, beliau yakin Malaysia akan mencapai tahap rasuah sifar apabila Datuk Seri Najib Razak berundur suatu hari nanti.

Pembangkang bertambah tidak puas hati apabila beliau turut membuat dakwaan bahawa bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang peliwat yang terlibat dengan “anak buahnya.”

Mengulas isu itu, Abdul Hadi berkata,PAS yang menjadi pembangkang yang menasihat, namun sama-sama berpegang kepada konsep nasihat.

Menurutnya, ketegasan PAS itu bukannya bersifat fanatik melulu, tetapi berpijak di atas ajaran Islam yang nyata sempurna yang tidak ada dalam ideologi atau teori ciptaan manusia.

“Maka PAS tidak boleh terikut dengan pihak yang lain atau sekadar dipergunakan oleh pihak yang berbeza dasar dan hala tujunya. PAS boleh bekerjasama dan bersefahaman dengan semua pihak yang tidak mengacau dasar Islam dan hala tuju wawasannya yang berkekalan,” katanya.

Ahmad Husni ialah menteri kewangan kedua yang melepaskan jawatan kira-kira 15 bulan lalu. Media melaporkan alasan peletakan jawatan itu ialah kerana beliau enggan dipindahkan ke kementerian lain.

Bagaimanapun ia menarik minat ramai kerana berlaku ketika isu skandal 1MDB sedang panas diperkatakan termasuk di kalangan pemimpin Umno.

– M’kini

.