HADI NAFI PAS NAK TADBIR 5 NEGERI

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti Islam itu mahu mentadbir lima negeri dan menyerahkan selebihnya kepada Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Abdul Hadi apa yang menjadi keutamaan partinya ialah memenangi 40 kerusi parlimen yang akan ditandingi nanti.

Lebih daripada itu, anggota parlimen Marang itu menjelaskan, tidak ada sesiapa yang dapat meramalkan masa depan.

“Saya tak pernah buat kenyataan macam tu. Kita tak nampak (tak boleh tahu) masa depan. Sepuluh negeri ke, tiga negeri ke, satu negeri ke, itu keputusan PRU,” kataya di Cyberjaya hari ini.

Abdul Hadi sebelum itu merasmikan Konvensyen Profesional Malaysia anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia. Dianggakan 300 orang hadir pada majlis berkenaan.

Turut hadir pemimpin utama Dewan Pemuda PAS seperti Nik Abduh Nik Aziz, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Khairil Nizam Khirudin.

Abdul Hadi menyatakan, PAS juga berhasrat menjadi “penentu” dalam politik negara, dipercayai merujuk kepada kedudukan parti itu yang tidak memihak sama ada kepada BN atau Pakatan Harapan.

Sebelum ini satu klip video ringkas memaparkan Abdul Hadi berceramah menjadi tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi 1.10 saat menunjukkan Abdul Hadi berkata, PAS harus memerintah di lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, manakala selebihnya terserah kepada Umno.

Dalam rakaman video yang disunting itu Abdul Hadi berkata: “Sebab itu bagi Terengganu, bagi Kelantan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi Selangor – biar PAS memimpin. Negeri lain, Umno nak lagi, biar ke dia.

“Kalau boleh (PAS) nak (sapu) habis, tapi (kita) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerluan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik islam.

“Ini sangat penting. Kita kena sedar. Ini budaya politk matang dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama, tak mahu keras, (nak) lembut.”

Sementara itu Nik Abduh berkata, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua Pemuda PAS dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah hujung April ini.

“Saya dah sebut dalam parlimen dulu, saya tak pertahankan jawatan saya,” katanya.

– M’kini

.